suria

Elak Jadi Transit Daesh, Polis Kelantan Tingkat Kawalan

Dr Ab Rahman Ismail (duduk, tengah).

KOTA BAHARU: Semua anggota polis di Kelantan diarahkan sentiasa peka dengan perkembangan di sekeliling mereka bagi mengelak negeri itu menjadi transit kepada suspek yang terbabit dengan kegiatan militan Daesh.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata tangkapan dua suspek disyaki terbabit dengan kegiatan militan Daesh di kawasan berbukit di Kuala Krai pada 9 Ogos lalu, membuktikan wujud elemen kumpulan berkenaan menjadikan negeri itu sebagai tempat persembunyian mereka. 

"Kedudukan Kelantan yang berjiran dengan Thailand adalah antara sebab pihak berkuasa meningkatkan tahap keselamatan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Sabtu.

Ab Rahman berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengenai sembilan suspek terbabit dengan militan Daesh ditahan dalam operasi antara 20 Julai hingga 9 Ogos lepas di Kuala Lumpur, Johor, Sabah dan Kelantan.

Dua suspek yang dikehendaki atas kes letupan bom di sebuah pub di Puchong ditahan dengan bantuan Platun Tiger, Batalion 8, Pasukan Gerakan Am di Kuala Krai pada 9 Ogos.

Ab Rahman berkata aktiviti militan Daesh adalah ancaman kepada keselamatan negara dan polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas pihak yang disyaki terbabit.

"Di Kelantan, saya sudah mengarahkan setiap anggota polis supaya jangan mengambil mudah ancaman ini dan meningkatkan tahap keselamatan di balai polis,"katanya.

Beliau berkata bangunan kerajaan, pusat membeli belah dan kawasan awam adalah sasaran mudah kepada kumpulan militan, maka pemantauan dan kawalan perlu ditingkatkan. -Bernama

Artikel Lain