suria

Najib Sertai Ribuan Umat Islam Program Doa Untuk Malaysia

Najib Tun Razak (tiga, kiri) pada majlis Doa Untuk Malaysia di Dataran Merdeka, Sabtu malam. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak menyertai ribuan umat Islam yang membanjiri Dataran Merdeka di sini pada majlis' Doa untuk Malaysia' sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2016 pada Sabtu malam.

Perdana Menteri yang lengkap berjubah putih serta kopiah tiba 8.30 malam dan disambut timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama pada majlis yang memasuki tahun ketiga itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Program tahunan kerjasama antara Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur itu merupakan program pembukaan kepada semua acara sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2016.

Program yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen RTM dan radio Nasional fm itu dimulakan dengan solat Isyak berjemaah disusuli solat hajat yang diimamkan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Ia diikuti bacaan doa memohon pengukuhan perpaduan antara kaum serta dijauhkan dari sebarang anasir negatif oleh Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Tuan Asmawi Tuan Umar.

Pengisian doa itu termasuk memohon agar negara dijauhi fitnah dan pelampau Daesh yang boleh memecahbelahkan perpaduan serta politik negara.

Turut menjadi tumpuan jemaah ialah selawat qasidah dan tawsiah yang dipimpin dua pendakwah terkenal dari Indonesia iaitu Habib Syech Abdul Qadir Assegaf dan Habib Ali Zaenal Abidin diiringi kumpulan nasyid tempatan Al-Mawlid.

Keadaan cuaca yang amat baik sejak awal pagi tadi menjadi faktor kelancaran majlis dengan kehadiran puluhan ribu umat Islam bagi mengimarahkan majlis tersebut.

Rata-rata hadirin khusyuk berselawat qasidah dan tawsiah sambil mengibarkan Jalur Gemilang tanda cintakan tanah air. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain