suria

Haiwan Berbisa: Pekeliling Peringatan Keselamatan Baharu Di Sekolah

Seekor ular ditemui dalam beg sekolah. Foto: China Press

SERDANG: Kementerian Pendidikan mengeluarkan pekeliling berkaitan peringatan yang perlu dilaksanakan berhubung keselamatan di sekolah terutamanya berkaitan isu ancaman haiwan berbisa.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pihak sekolah disyorkan supaya memastikan kawasan sekolah dan asrama sentiasa berada dalam keadaan bersih dan teratur.

Katanya Kawasan terutamanya seperti tempat pembuangan sampah, semak, tandas dan bilik mandi, rekreasi termasuk stor peralatan sukan perlu sentiasa bersih bagi mengelak sebarang kemungkinan menjadi lokasi kunjungan haiwan berbahaya seperti ular.

"Murid dan pelajar juga perlu sentiasa diingatkan mengenai bahaya haiwan berbisa dan mengarahkan mereka supaya melaporkan terus kepada guru sekiranya ternampak haiwan itu di sekolah," katanya.

Beliau berkata peringatan itu termaktub dalam pekeliling terbaharu yang diedarkan kementerian kepada semua pengarah pendidikan negeri pada Selasa lepas, dan pihak kementerian akan melakukan pemantauan rapi bagi memastikan ia dilaksanakan.

Mahdzir berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Tokoh Nadi Ilmu Amalan Mulia (Nilam) peringkat kebangsaan sempena  pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL 2016) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, Jumaat.

Beliau berkata pengetua dan guru besar perlu memberi perhatian terhadap tahap keselamatan di persekitaran sekolah dan memberi peringatan berulang berhubung keselamatan dan bahaya haiwan berbisa terutamanya kepada pelajar sekolah rendah.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata PBAKL yang berlangsung sehingga 9 Mei menyaksikan penyertaan sebanyak 250 pempamer antaranya Amerika Syarikat, Arab Saudi, Australia dan China.

Pameran itu, yang dibuka seawal 9 pagi hingga 9 malam itu menyasarkan kehadiran 2.5 juta pengunjung, katanya.

Terdahulu, Khaleda Irdina Batrisyia Harun dari Sekolah Kebangsaan Pulau Serai, Terengganu dan pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kuan Cheng 2, Kuala Lumpur, Natalie Chan Jia Yiing diumumkan sebagai Tokoh Nilam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris bagi kategori sekolah rendah.

Merissa Sofea Zulkurnain dari Kolej Tunku Kursiah, Seremban,Negeri Sembilan dan Muhammad Nazhrin Faisal Sabri dari Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat, Perak diumumkan sebagai Tokoh Nilam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris bagi kategori sekolah menengah.

Pemenang anugerah Tokoh Nilam bagi sekolah menengah menerima wang tunai RM1,000 manakala sekolah rendah RM900 berserta sebuah piala tokoh, sijil,baucer, sijil dan sebuah tablet.

Buat pertama kali, anugerah itu yang diadakan sejak 2003 bagi mengiktiraf jaguh-jaguh membaca dalam kalangan pelajar, turut menghargai pelajar kelainan upaya dengan menyediakan Anugerah Nilam Pendidikan Khas untuk kategori masalah pendengaran, pembelajaran dan penglihatan. -Bernama

Artikel Lain