suria

ADUN Seberang Jaya Diarah Bayar RM280,000 Kepada Empat Wakil Rakyat BN

Dr Afif Bahardin

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat mmerintahkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya Dr Afif Bahardin membayar ganti rugi berjumlah RM280,000 kepada empat wakil rakyat Barisan Nasional (BN) kerana memfitnah mereka berhubung penjualan tanah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth.

Pesuruhjaya Kehakiman Lim Chong Fong memerintahkan Dr Afif daripada PKR membayar RM70,000 masing-masing kepada Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya, ADUN Telok Ayer Tawar Datuk Jahara Hamid, ADUN Permatang Berangan Omar Abd Hamid dan ADUN Sungai Dua Muhamad Yusoff Mohd Noor.

Beliau juga mengarahkan Dr Afif selaku defendan membayar kos RM10,000 kepada keempat-empat plaintif itu berserta faedah lima peratus.

Ketika membenarkan saman fitnah difailkan oleh empat wakil rakyat BN itu, Lim berkata mahkamah mendapati perkataan yang diucapkan oleh Dr Afif pada Himpunan Reformasi 2.0 bertarikh  17 April 2014 adalah fitnah terhadap kesemua plaintif.

"Mahkamah juga mendapati pembelaan defendan untuk justifikasi gagal kerana defendan tidak mengemukakan apa-apa bukti bagi menyokong rayuan justifikasi,"katanya.

Lim dalam penghakimannya juga berkata mahkamah turut mendapati pembelaan komen berpatutan adalah gagal kerana ucapan yang dibuat ADUN PKR itua dalah pernyataan fakta dan bukan komen.

"Selain itu didapati ada unsur fitnah kerana defendan sepatutnya tahu fakta berkaitan isu bantahan penjualan tanah TUDM ini daripada beberapa artikel yang dilaporkan dalam surat khabar sebelum tarikh 17 April 2014," katanya.

Pada Julai 2014, Shabudin, Jahara, Omar dan Muhamad Yusoff selaku plaintif pertama hingga keempat menfailkan saman terhadap Dr Afif dengan mendakwa Dr Afif telah membuat ucapan berbaur fitnah terhadap mereka.

Menerusi pernyataan tuntutan, kesemua plaintif itu mendakwa Dr Afif telah membuat ucapan fitnah di hadapan serta didengari oleh semua yang hadir dalam Himpunan  Reformasi 2.0 di Tapak Ekspo Seberang Jaya pada 17 April 2014.

Kesemua plaintif mendakwa pernyataan fitnah yang dibuat defendan bermaksud nbahawa plaintif pertama hingga keempat telah menjual tanah  TUDM Butterworth kepada syarikat kroni.

Mereka juga mendakwa kenyataan itu juga turut menunjukkan kesemua plaintif terlibat dengan penjualan tanah TUDM Butterworth tanpa melalui proses penjualan yang  betul serta terlibat dengan penyelewengan penjualan tanah itu kepada pembeli yang berkepentingan peribadi.

Oleh itu kesemua plaintif menuntut ganti rugi teruk, teladan , faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Keempat-empat plaintif diwakili peguam Azmer Md Saad manakala Dr Afif diwakili peguam Datuk CV Prabhakaran.

Jahara ketika ditemui di luar mahkamah melahirkan rasa syukur dengan keputusan mahkamah itu yang sekaligus telah membersihkan nama beliau dan tiga rakannya daripada tuduhan terbabit.

Sementara itu, Prabhakaran pula berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Turut hadir di mahkamah pada prosiding hari ini ialah Dr Afif dan Muhamad Yusoff. -Bernama

Artikel Lain