suria

Sistem myIMMs Alami Gangguan Sejak Rabu Lepas - KP Imigresen

KUALA LUMPUR: Sistem myIMMs yang menyokong perkhidmatan utama Jabatan Imigresen mengalami gangguan sejak Rabu (18 Nov) lalu disebabkan kerja-kerja pembaharuan dan pengemaskinian data.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafa Ibrahim berkata gangguan berkenaan telah menyebabkan sistem myIMMs itu tidak berfungsi secara dalam talian (online) sehingga menjejaskan perkhidmatan utama membabitkan semua cawangannya termasuk di luar negara.

Bagaimanapun, perkhidmatan utama Jabatan Imigresen masih boleh beroperasi secara 'offline' dan manual, katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

"Pembaharuan dan kemaskini data ini adalah usaha Jabatan Imigresen untuk menaik taraf ciri-ciri keselamatan dan kelancaran sistem itu beroperasi.

"Aktiviti berkenaan dirancang dilaksanakan pada Rabu lalu bermula pukul 9 malam dengan hanya mengambil tempoh sejam bagi memastikan tiada gangguan pada perkhidmatan urusniaga utama jabatan keesokan harinya.

"Namun, Jabatan Imigresen mendapati sistem myIMMs tidak berfungsi seperti sedia kala selepas aktiviti pembaharuan dan pengemaskinian data selesai," kata Mustafa.

Berikutan itu, Bahagian Teknologi Maklumat dan Rekod jabatan itu mengambil langkah drastik bagi membaiki dan mengatasi masalah gangguan sistem itu.

"Kerja-kerja pembaikan sistem berkenaan mengambil masa agak lama dan sistem Jabatan Imigresen hanya pulih semalam bermula pukul 11 pagi secara berperingkat mengikut cawangan," katanya sambil menambah jabatan itu sedang mengenal pasti punca sebenar bagi mengatasi pelaksanaan aktiviti itu.

Mustafa berkata pada masa depan, sebarang aktiviti berisiko menjejaskan perkhidmatan ICT (Teknologi dan Komunikasi Maklumat) Jabatan Imigresen yang menyokong perkhidmatan utama jabatan itu hanya dilakukan pada hujung minggu atau cuti umum yang panjang bagi mengelakkan berlakunya gangguan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai datang lebih awal dan elakkan datang pada saat-saat akhir untuk membuat permohonan pasport atau urusan lain di Pejabat Imigresen berikutan gangguan berkenaan.

"Jabatan Imigresen memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami pelanggan dan usaha preventif juga sedang diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa depan," katanya.-- Bernama

myIMMs, Imigresen, Mustafa Ibrahim

Artikel Sebelum

Artikel Lain