suria

Pertandingan Namakan Anak Panda Bermula

KUALA LUMPUR: Pertandingan menamakan anak panda gergasi yang lahir pada 18 Ogos lalu bermula pada hari ini (Selasa) sehingga 17 Disember, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurut beliau, pertandingan itu merupakan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) dengan pihak Persatuan Zoologi Malaysia (MZS) dalam usaha mempromosikan aktiviti konservasi dan hidupan liar di negara.

"Nama yang diberi haruslah berunsurkan nama Cina dan mempunyai makna yang unik dan ada maksud dalam bahasa Melayu serta Inggeris.

"Pertandingan ini dibuka kepada semua dan borang penyertaan boleh dimuat turun di portal rasmi kementerian," jelasnya dalam sidang media khas di Pusat Konservasi Panda Gergasi pada Selasa.

Wan Junaidi memberitahu, hadiah pertandingan masih dalam perbincangan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Anak panda gergasi ini mula dipamerkan kepada orang ramai bermula pukul 2.30 hingga 3.30 petang setiap hari.

Sementara itu, NRE menjangkakan peningkatan jumlah kedatangan pelancong sebanyak 25 peratus untuk melihat anak panda berkenaan.

Mengikut perjanjian antara Malaysia dan China, anak panda gergasi itu akan dihantar pulang selepas dua tahun dilahirkan.

Malaysia telah mencipta rekod terpantas persenyawaan secara semula jadi panda gergasi dalam tempoh 15 bulan selepas dipinjamkan.

Panda, Cina

Artikel Lain