suria

Beberapa Jalan Utama Ditutup Sempena Sidang Kemuncak Asean

KUALA LUMPUR: Beberapa jalan di ibu negara akan ditutup bermula 18 hingga 22 November untuk beri laluan kepada Sidang Kemuncak Asean Ke-27.

Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata penutupan jalan itu akan dilakukan secara berperingkat untuk memberi laluan kepada persidangan yang akan diadakan di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC).

"Kami akan mengawal lalu lintas antara pukul 7 pagi dan 11.30 malam tetapi bermula pada Sabtu 21 November ini, kami akan tutup jalan secara berperingkat dari pukul 7.40 pagi hingga 9 malam.

"Antara pukul 7.15 malam dan 8.50 malam pada hari sama, jalan akan ditutup untuk beri laluan majlis makan malam Gala," katanya dalam sidang media pada Selasa.

Antara jalan yang ditutup termasuk Jalan Binjai/Persiaran KLCC, Jalan Imbi/Jalan Sultan Ismail, Jalan Imbi/Jalan Bukit Bintang, Jalan Raja Chulan/Jalan Bukit Bintang, Jalan Kia Peng/Lorong Perak, Jalan Raja Chulan/Lorong Perak, Jalan Nagasari/Jalan Raja Chulan, Jalan Sultan Ismail/Jalan Ampang, Jalan Ampang/Jalan Binjai, Jalan Sultan Ismail/Jalan P. Ramlee dan Jalan Raja Chulan/Persiaran Raja Chulan.

"Orang ramai dinasihatkan untuk masuk ke pusat bandar sebelum 7.15 pagi untuk mengelakkan sebarang kesulitan," katanya.

Pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif iaitu di Jalan Kia Peng/Jalan Stonor, Jalan Tun Razak, Lorong Lumba Kuda, Jalan Yap Kwan Seng, Jalan Raja Chulan/Tun Perak, Jalan Hang Tuah dan Jalan Pudu.

"Kami akan menempatkan seramai 705 anggota trafik untuk mengawal lalu lintas," ujarnya.

Tambah Nadzri antara jalan yang akan terjejas termasuklah Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee, Jalan Pinang, Jalan Raja Chulan, Jalan Kia Peng, Jalan Perak, Jalan Binjai, Jalan Bukit Bintang dan Jalam Imbi.

"Selain jalan yang disebutkan, laluan datang dari arah Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang turut terjejas," jelasnya.

Asean, trafik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain