suria

Jual 1MDB, Bukan Lindungi - Shamsubahrin

Shamsubahrin Ismail

KUALA LUMPUR: Bekas perunding National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Shamsubahrin Ismail mencadangkan supaya 1Malaysia Development Berhad (1MDB), syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan yang dibebani hutang kira-kira RM42 bilion itu dijual, bukannya dilindungi.

Beliau berkata, kerajaan seharusnya menjual syarikat itu tanpa mengharapkan sebarang cadangan atau pandangan untuk menyelamatkan 1MDB.

“1MDB tidak boleh diselamatkan dan kerajaan tidak seharusnya menanggung liabiliti syarikat itu. Ia ada aset yang paling bernilai di Kuala Lumpur, jualkan sahaja syarikat itu.

“Sekurang-kurangnya ada pihak yang akan mengambil alih ‘kerugian dan liabiliti’ di samping mengubah semula 1MDB,” katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Shamsubahrin pada Isnin lalu dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah terhadap lima pertuduhan menipu Pengerusi Eksekutif  NFCorp, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail melibatkan RM1.75 juta dan 17 pertuduhan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun Shamsubahrin menegaskan supaya 1MDB tidak dijual kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebaliknya kepada syarikat swasta yang berpotensi.

“Jangan jual 1MDB kepada Petronas, KLCC Properties, KWSP dan Tabung Haji, tetapi jualkannya kepada syarikat swasta.

“Wujudkan satu konsortium dan biarkan mereka ambil alih 1MDB. Saya nasihatkan jual tanah 1MDB kepada syarikat pemaju yang berpengalaman dan mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh,” katanya sambil merujuk kepada cadangan untuk menjualnya kepada syarikat yang tidak mempunyai kepentingan politik.

Syarikat pembangunan strategik 1MDB mempunyai dua tanah iaitu di Tun Razak Exchange (TRX), pusat perniagaan baharu seluas 70 ekar di pusat bandar Kuala Lumpur dan satu lagi projek hartanahnya ialah Bandar Malaysia di tapak bekas lapangan terbang di Sungai Besi.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan keyakinan bahawa kerajaan boleh mengurangkan hutang 1MDB dan ia sedang diusahakan kerajaan walaupun berdepan dengan begitu banyak kritikan.

1MDB, Shamsubahrin Ismail

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain