suria

Muhyiddin Bimbang Pengundi Tak Keluar Mengundi

Muhyiddin bertanyakan khabar pesakit buah pinggang, Halimah Awang, 56 yang menjalani rawatan hemodialisis di YKN Dialisis, Rompin, Rabu.

ROMPIN: Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan kebimbangan terhadap trend pengundi yang beranggapan Barisan Nasional (BN) pasti menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin, sekali gus menyebabkan mereka tidak keluar mengundi pada 7 Mei ini.

"Pengundi mengandaikan BN pasti menang dan ambil sikap mudah tidak keluar mengundi. Itu sahaja kebimbangan kita. Jadi kalau semua pihak bersikap begitu kita akan hadapi masalah, " kata Timbalan Perdana Menteri itu.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Dialisis di Pantai Hiburan dekat sini, Rabu.

Beliau berkata, tindakan segelintir pengundi itu akan memberi kesan kepada majoriti besar yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

"Trend PRK menyaksikan sedikit penurunan, kalau PRU jumlah pengundi keluar mengundi 85 peratus. Namun bila tiba PRK jumlah menurun, " katanya.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, jentera kempen sedang berusaha untuk membawa balik pengundi yang tinggal di luar Pahang dalam usaha mengekalkan kerusi di Parlimen itu.

"Kita dah tahu dimana pengundi berada dan minta mereka dihubungi. Sebaiknya mereka pulanglah pada hari mengundi nanti," katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, kempen BN kini sudah memasuki fasa kedua dengan sebanyak 28 Pusat Daerah Mengundi (PDM) sudah dilawati.

"Setakat hari ini saya lihat perjalanan agak baik, tak ada masalah jentera parti, cuma yang perlu dipertingkatkan adalah menangani isu-isu berbangkit," katanya.

Jelas beliau, jentera BN kini lebih agresif dalam menyampaikan maklumat penting mengenai hala tuju BN supaya pengundi dapat membuat pilihan tepat apabila mengundi nanti.

Terdahulu, Muhyiddin mengadakan lawatan ke YKN Dialisis Rompin yang diperjuangkan penyandang Ahli Parlimennya, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis bagi memastikan pesakit buah pinggang yang kurang berkemampuan mendapat rawatan di pusat dialisis kerajaan.


Artikel Lain