suria

Pegawai Kerajaan Perlu Kuasai Bahasa Inggeris - Idris

Idris Haron

MELAKA: Pegawai kerajaan di negeri ini perlu menguasai bahasa Inggeris bagi memastikan keberkesanan perkhidmatan kepada orang ramai terutamanya pelancong asing, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata, Melaka sebagai destinasi pelancongan yang menerima kunjungan pelancong asing setiap hari, adalah penting bagi pegawai kerajaan di negeri ini menguasai bahasa Inggeris bagi memudahkan interaksi dan memberikan perkhidmatan terbaik.

Katanya, pegawai kerajaan di negeri ini terutamanya yang berkait terus dengan sektor pelancongan memainkan peranan penting sebagai duta kecil untuk memperkenalkan Melaka ke mata dunia.

"Dunia sekarang dilihat semakin kecil apabila kita semakin mudah berkomunikasi dengan rakyat asing seluruh dunia, maka dalam menghadapi cabaran ini pegawai kerajaan negeri sebagai duta kecil perlu menguasai bahasa Inggeris membolehkan mereka menerangkan segalanya tentang Melaka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri di Dewan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang turut  dihadiri Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin.

Idris berkata, kerajaan negeri bersama UTeM sedang merangka program bahasa Inggeris khas untuk pegawai di jabatan kerajaan negeri bagi meningkatkan lagi kemahiran berbahasa.

Beliau berkata program tersebut memfokus kepada kemahiran berkomunikasi, penulisan dan bacaan yang akan bermula Mac ini.

"Program di bawah Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan UTeM ini akan turut menawarkan kursus bahasa ketiga seperti bahasa Mandarin, Jepun, Korea dan Arab kepada kakitangan awam yang berminat," katanya.

Pada majlis perhimpunan itu, Bank Simpanan Nasional diwakili Timbalan Ketua Eksekutif Sokongan Perniagaanya, Datuk Yunos Abd Ghani menyerahkan dua buah van jenazah kepada Idris bagi kegunaan Masjid Al-Ehsan di Limbongan di sini dan Masjid Al-Abrar di Merlimau, Jasin.

Idris Haron, bahasa Inggeris, UTeM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain