suria

Pengawal Keselamatan Dijatuhi Hukuman Penjara Cederakan Warga Myanmar

KUALA LUMPUR: Gara-gara mencederakan seorang lelaki warga Myanmar menggunakan tali pinggang, seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara dua bulan setelah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, Isnin.

Majistret Mohd Rehan Mohd Aris menjatuhkan hukuman itu ke atas Jasni Abdullah, 20, bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 20 November tahun lepas.

Selain Jasni, pekerja restoran Mohd Sufri Abd Razak, 22, dan seorang remaja lelaki berumur 18 tahun yang bekerja sebagai promoter turut didenda RM2,500 atau penjara empat bulan setiap seorang setelah mengaku bersalah atas kesalahan yang sama.

Mereka bersama-sama didakwa menyebabkan kecederaan ke atas pekerja buruh binaan, Van Hninh, 36, dengan menggunakan tali pinggang besi di sekitar kawasan Transit Aliran Ringan (LRT) Pudu, Jalan Sarawak, Dang Wangi pada kira-kira 9.30 malam, 20 November 2014.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripadanya.

Menurut fakta kes, ketika Van berjalan menuju ke LRT Pudu, dia ditahan ketiga-tiga tertuduh yang menanyakan mengenai kewarganegaraannya sebelum  dipukul seorang daripada tertuduh di belakang kepala menggunakan tali pinggang besi tajam berbentuk lambang 'Batman', manakala dompet serta telefon bimbit mangsa turut diambil tertuduh.

Ketiga-tiga mereka ketika rayuan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana ini merupakan kesalahan kali pertama mereka dan terpaksa berhadapan dengan kehilangan pekerjaan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Artikel Lain