suria

Radikalisme Cabaran Terbesar Keselamatan Negara - Hishammuddin

Hishammuddin Hussein.
KUALA LUMPUR: Mencegah kalangan belia daripada menjadi golongan radikal adalah cabaran terbesar terhadap keselamatan negara di Malaysia, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata ini penting bagi Malaysia berdasarkan ciri negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan menganut pelbagai agama.

Berucap kepada 1,500 peserta muda pada Simposium Kepimpinan dan Aspirasi Negara (NALS) ke-3, Hishammuddin menggariskan tiga langkah untuk menangani cabaran itu, termasuk perlunya memperjuangkan konsep kesederhanaan.

"Bagi diri saya, kesederhanaan terutamanya dalam konteks di Malaysia adalah tentang penerimaan. Kuncinya adalah bagi kita semua untuk menerima perbezaan kita, mencari titik persamaan bagi masalah yang kita hadapi dan bersama-sama menyelesaikannya," katanya.

Hishammuddin berkata satu lagi langkah penting adalah perlunya usaha menyeluruh untuk memastikan "anggota yang paling mudah terdedah dalam masyarakat kita, terutamanya kalangan belia lelaki, diberikan pilihan terhadap radikalisme". 

"Jika kita mahu mengalahkan ekstremisme, tidak memadai untuk kita hanya membataskan usaha kita bagi penyusunan semula masyarakat kita untuk menjadi lebih seimbang dari segi sosio-ekonomi, begitu juga kita tidak boleh hanya bergantung kepada langkah-langkah keselamatan dan undang-undang," katanya.

Artikel Lain