suria

Tiga Ditahan Dalam Serbuan VCD Cetak Rompak

PETALING JAYA: Tiga, termasuk seorang wanita yang dipercayai menjalankan operasi mencetak cakera video digital (DVD) secara haram di sebuah unit pangsapuri ditahan reman selama seminggu.

Timbalan Ketua Penguatkuasa Daerah Petaling Jaya, Ramli Nayan berkata, kedua-dua rakan karib itu ditahan selepas pihak berkuasa menjalankan operasi di sebuah unit pangsapuri Desa Mentari, di sini, awal pagi Jumaat.

"Dalam serbuan di antara pukul 3 hingga 5 pagi itu, pihak berkuasa merampas lebih 5,000 keping VCD/DVD filem dan lagu bahasa Melayu dan Inggeris, empat unit pencetak cakera padat dan lima buah pencetak berwarna.

"Operasi dijalankan berdasarkan maklumat orang awam dan risikan pihak berkuasa selama seminggu," katanya.

Beliau berkata, operasi bersama itu disertai lima anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, 16 pegawai penguatkuasa KPDNKK Petaling Jaya dan 10 pegawai penguatkuasa KPDNKK Shah Alam.

"Ketika ditahan, dua lelaki dipercayai suspek utama itu sedang sibuk mencetak VCD dan DVD pelbagai tajuk menggunakan 'burner'," katanya.

Turut dirampas sebuah kereta Proton Iswara dan dianggarkan rampasan bernilai lebih RM65,000.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 1(G) Akta Hak Cipta 1987 dan boleh dikenakan denda  RM20,000 bagi setiap salinan yang dicetak jika didapati bersalah.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain