suria

Tok Bali Bakal Jadi Pangkalan Minyak Dan Gas

KOTA BAHARU: Pelabuhan Tok Bali di Pasir Puteh bakal berkembang setapak lagi apabila ia dicadangkan menjadi pangkalan bekalan aktiviti sokongan luar pesisir dalam sektor minyak dan gas.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini kerana Tok Bali mempunyai potensi besar sebagai pangkalan bekalan itu selepas Kemaman, Terengganu.

"Kita difahamkan Kemaman begitu pesat membangun dan padat untuk penambahan lain dan sebab itu Tok Bali mempunyai daya tarikan bagi dijadikan pangkalan sokongan ini.

"Ini kerana aktiviti carigali minyak dan gas di sempadan yang dekat dengan Tok Bali, membuatkan Tok Bali sesuai dijadikan pangkalan baharu," katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam meraikan 44 delegasi mewakili 29 syarikat minyak dan gas di sini, Sabtu malam.

Majlis itu adalah anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Mustapa berkata, Tok Bali yang terletak di lokasi strategik dengan Terminal Bekalan Pukal dan Pangkalan Bekalan Tok Bali bakal menawarkan penjimatan kos memandangkan ia berhampiran lapangan minyak dan gas yang baharu.

Menurutnya, jika pangkalan bekalan itu menjadi realiti, peluang pekerjaan yang banyak akan terhasil dan ia juga akan menarik minat syarikat multinasional seperti Murphy Oil, Exxon-Mobil, Petronas, Haliburton dan Scomi.

"Syarikat tempatan juga berpeluang mengambil bahagian menyediakan perkhidmatan kepada syarikat multinasional terutama di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand," katanya.

Beliau juga berkata, lawatan delegasi itu ke Tok Bali hari ini diharapkan menarik minat mereka seterusnya bersetuju untuk menjadikan kawasan itu sebagai pangkalan bekalan baharu.

"Tetapi kita juga perlu melihat dari sudut sumber manusia dan industri sokongan yang perlu ada iaitu perusahaan kecil dan sederhana," katanya.

Mustapa berkata, kedatangan delegasiitu adalah usaha berterusan Jawatankuasa Khas Pelaburan Negeri Kelantan bagi membantu membawa pelabur ke Kelantan.

Katanya, Kelantan menerima kemasukan pelabur yang sedikit kerana kekurangan infrastruktur seperti jalan raya dan sebagainya.

"Setahun dua ini sudah ada yang berminat seperti tiga syarikat yang bakal membina kilang simen di negeri ini," katanya.

Sebelum ini jawatankuasa berkenaan membawa beberapa pelabur dari Korea dan Singapura untuk meninjau potensi pelaburan di negeri ini.


Tok Bali, Minyak, Gas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain