suria

KP Jasa Terkena Serangan Jantung Dalam Majlis Makan Malam

KUANTAN: Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Datuk Fuad Hassan dipercayai terkena serangan jantung ketika menghadiri majlis makan malam bersempena penutupan Program Pemukiman Transformasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Awana Kijal, Kemaman, Terengganu, Sabtu malam.

Dalam kejadian pukul 11.15 malam, Fuad, 62, yang duduk semeja bersama Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh, tiba-tiba pengsan namun sempat disambut Penasihat Undang-undang KKMM Yang Zaimey Yang Ghazali.

Menurut Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab, beberapa pegawai kanan kementerian yang melihat keadaan itu segera memberi pertolongan cemas.

"Mereka cuba memberi pertolongan cemas sebelum menghantarnya ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan," katanya kepada Bernama di sini, Ahad.

Zakaria berkata setelah berada dalam keadaan stabil, Fuad dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini kira-kira pukul 2 pagi untuk rawatan lanjut dengan diiringi Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan pegawai kanan kementerian.

Fuad kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan dijangka dibawa ke Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur untuk rawatan susulan.

Program pemukiman itu diadakan selama dua hari sejak Jumaat lepas, dan Fuad pada awalnya merancang untuk pulang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri majlis makan malam itu.


Jasa, Terengganu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain