suria

Masjid Hussain Seremban 2 Diconteng

Masjid Hussain Seremban 2

SEREMBAN: Masjid Hussain Seremban 2, di sini turut menjadi sasaran individu tidak bertanggungjawab apabila didapati diconteng, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Muhamad Zaki Harun berkata, Masjid yang baru dirasmikan pada 24 Okt lepas itu diconteng dengan beberapa perkataan menggunakan pen penanda biru gelap.

Katanya, laporan mengenai kejadian itu diterima semalam dan sedang menyiasat kes tersebut kerana mencemarkan tempat ibadat.

"Kejadian dipercayai berlaku antara 10 pagi hingga 12 tengah hari semasa majlis perkahwinan sepasang pengantin sedang berlangsung di masjid itu.

"Perbuatan disyaki dilakukan orang dewasa kerana tulisan berada di bahagian yang tinggi," katanya di sini, Ahad.

Rabu lepas, Surau Hubbul Watan Taman Seremban Jaya Fasa 10 dan Pejabat Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Bahagian Rembau, Jalan Seremban-Tampin, di sini dijadikan sasaran vandalisme diconteng, dilukis logo dan beberapa perkataan dengan menggunakan cat.

"Kes masih dalam siasatan dan pihak polis cuba mengesan suspek dalam kalangan tetamu yang hadir iaitu keluarga, sanak-saudara atau pun rakan-rakan kedua-dua pengantin," katanya.

Selain itu, katanya kerosakan turut dikesan pada alat dan sistem pembesar suara masjid itu yang disedari oleh imam masjid ketika ingin melaungkan azan Zohor.

Masjid Hussain Seremban 2 yang diwakafkan oleh pengasas Rashid Hussain Bank Berhad, Tan Sri Rashid Hussain telah disempurnakan pengisytiharannya oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan pada 24 Okt lepas.

Masjid yang menelan belanja RM22.6 juta di tapak seluas 20,240 meter persegi ini boleh menampung 2,500 jemaah.


Masjid, Seremban 2, Polis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain