suria

Keluarga Mahu Siti Aishah Pulang Secepat Mungkin

Hasnah memegang sekeping potret lama Siti Aishah ketika dalam satu temubual di rumahnya di Jelebu. - Foto AFP.
Hasnah memegang sekeping potret lama Siti Aishah ketika dalam satu temubual di rumahnya di Jelebu. - Foto AFP.
Hasnah memegang sekeping potret lama Siti Aishah ketika dalam satu temubual di rumahnya di Jelebu. - Foto AFP.

JELEBU: Hasnah Abdul Wahab, kakak sulung Siti Aishah, rakyat Malaysia yang dikatakan menjadi hamba di Britain, mahu bertemu dengan adiknya yang sudah lama menghilang sebelum dia meninggal dunia.

Wanita berusia 88 tahun, yang ditemui di rumahnya di Kuala Klawang dekat sini berkata, doanya untuk bertemu dengan Siti Aishah yang kali terakhir dilihatnya 45 tahun lalu akhirnya akan dimakbulkan.

"Sekarang dia telah ditemui, saya berharap dia akan pulang. Saya sudah tidak sabar untuk bertemu dengannya," kata Hasnah kepada The Star sambil melihat gambar lama ketika Siti Aishah masing kecil.

Hasnah berkata, dia sangat gembira apabila diberitahu oleh seorang lagi adik perempuannya, Kamar Mathum, 73, bahawa seorang daripada tiga wanita yang dipercayai dijadikan hamba lebih daripada tiga dekad oleh pengikut kumpulan fahaman Maoist di London merupakan adiknya yang telah lama menghilangkan diri iaitu Siti Aishah.

"Adik saya, Siti Aishah merupakan bekas pelajar Kolej Tunku Kurshiah, dia seorang pelajar yang bijak.

"Saya telah lama tidak bertemu dengannya dan sangat berharap dia dapat pulang secepat mungkin," katanya sambil menambah Siti Aishah merupakan anak ke-11 daripada 12 adik beradik.

Siti Zawiyah Othman, 55, anak perempuan Hasnah berkata, keluarganya telah beberapa kali mencari makciknya itu di Britain namun mereka gagal menjejakinya.

"Salah seorang pakcik saya yang bekerja sebagai pegawai bank di London, kebetulan dapat bertemu dengannya dua kali tapi sudah lama namun dia kembali menghilangkan diri selepas itu," katanya.

Siti Zawiyah berkata, dia juga pernah bertemu dengan Siti Aishah di London ketika dia berusia 10 tahun.

Dia turut menunjukkan keratan artikel daripada sebuah portal berita yang mendakwa Siti Aishah mencari tempat perlindungan di London kerana kecenderungannya terlibat dengan kumpulan berhaluan kiri.

"Walaupun makcik saya terpengaruh dengan ideologi kumpulan berhaluan kiri, dia hanya pergi ke London selepas dia mendapat tajaan biasiswa untuk melanjutkan pelajarannya di sana.

"Makcik saya telah terpengaruh dengan cara ini kerana dia mahu memperjuangkan hak sama rata semua golongan ketika usianya masih muda," katanya lagi.

Artikel Lain