suria

KP1M Dan 1MDB Cadang Jadikan Bandar Burauen Daerah Angkat

Presiden Kelab Putra 1Malaysia, Datuk Azeez Abdul Rahim (tengah) bergambar kenangan bersama Sukarelawan, Datuk-datuk Bandar dan penduduk setempat selepas berjaya menamatkan misi bantuan kemanusiaan mangsa ribut Taufan Haiyan di bandar Tacloban, Ahad. -fotoBERNAMA

TACLOBAN: Burauen, sebuah bandar pertanian di wilayah Leyte di sini bakal dijadikan daerah angkat oleh Kelab Putera 1Malaysia(KP1M) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk dibangunkan semula.

Presiden KP1M Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata perbincangan lanjut akan diadakan dalam masa terdekat di Kuala Lumpur dan laporan mengenainya akan diusulkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk kelulusan.

"Saya merasakan (mereka perlu dibantu) sebab ada 40 daerah dan 70 peratus daripadanya telah mendapat bencana alam begitu teruk...dan antara daerah paling teruk ialah Bandar Burauen.

"Saya balik Insya-Allah saya akan cadangkan kepada Perdana Menteri bahawa...apa salahnya kita ambil Burauen ini sebagai daerah angkat untuk Malaysia..dan negara-negara lain pun boleh buat perkara sama dengan mengambil daerah-daerah lain," katanya kepada pemberita sebelum berlepas pulang ke ibu negara di Lapangan Terbang Daniel Z Romualdez, di sini Ahad.

Bandar terbesar di wilayah Leyte ini terletak kira-kira 50 kilometer daripada bandar Tacloban dan mempunyai 55,000 penduduk, 12,000 unit rumah dan 77 barongay (perkampungan).

Hampir 98 peratus daripada bandar itu musnah selepas dilanda taufan Haiyan awal pagi 8 November lepas.

Jumaat lepas, KP1M yang dalam misi bantuan kemanusiaan membantu mangsa bencana alam itu di sini, turut menyerahkan dua trak, setiap satu penuh dengan bantuan makanan dan ubat-ubatan kepada Datuk Bandar ini, di sini.

Sementara itu, Pengerusi 1MDB Datuk Shamsul Anwar Sulaiman ketika ditemui di sini berkata buat permulaan antara fokus utama perancangan pembangunan semula bandar itu ialah untuk menyediakan prasarana asas dan menyambung semula bekalan elektrik serta air.

"Kita juga akan mengambil pandangan Datuk bandar di sini sebelum mengadakan perbincangan lanjut di Malaysia dan mengusulkannya kepada Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata peruntukan bagi aktiviti pembangunan semula di bandar itu akan dibiayai sepenuhya oleh pihaknya dan KP1M.

Antara lain, Shamsul berkata inisiatif seumpama ini selain membantu mereka yang amat memerlukan, ia juga akan lebih mengeratkan hubungan kerajaan Malaysia dan Filipina.

Terdahulu, Abdul Azeez turut menyerahkan bantuan makanan sebanyak 15 tan kepada lapan Datuk Bandar di sini, dalam satu majlis ringkas, sebaik beliau tiba dengan pesawat Charlie C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kira-kira pukul 7 pagi tadi.

Kesemua sukarelawan berlepas pulang ke ibu negara menaiki pesawat sama kira-kira dua jam kemudian. - BERNAMA

Artikel Lain