suria

Kru TLDM sihat, pesawat selamat untuk terbang... Laporan akhir nahas 2 helikopter dijangka selesai 29 Mei

Laporan akhir nahas dua helikopter itu dijangka selesai pada 29 Mei.

DUA helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Lumut, Perak berada dalam keadaan airworthy (selamat untuk terbang) ketika kejadian, menurut laporan awal tragedi itu.

Dalam laporan sama, TLDM berkata penyelenggaraan kedua-dua helikopter mengikut prosedur dan rutin yang ditetapkan oleh pihak Original Equipment manufacturer (OEM).

"Helikopter AW139 HOM mempunyai kotak hitam manakala Fennec tidak dilengkapi dengan peralatan berkenaan. Analisis data daripada Perakam Data Penerbangan Pelbagai Guna telah diterima pada 3 Mei dan sedang dianalisis lebih lanjut oleh Lembaga Penyiasatan," kata TLDM.

Menurut kenyataan pada Khamis, semua kru udara berada dalam keadaan sihat bagi mengendalikan pesawat dan cergas untuk berbuat demikian berdasarkan kelayakan mereka pada hari kejadian.

"Lembaga Penyiasatan terdiri daripada sembilan pegawai TLDM yang mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan udara dan penerbangan. Ia juga menerima bantuan daripada Markas Tentera Udara - Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) dan doktor perubatan ATM," kata TLDM lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Negara berduka... Ini wajah 10 anggota TLDM maut nahas helikopter di Lumut

Laporan akhir dijangka selesai pada 29 Mei.

Pada 23 April lalu, dua helikopter Tentera Laut - sebuah AgustaWestland AW-139 dan sebuah Eurocopter AS555SN Fennec - berlanggar semasa menjalani rutin latihan untuk sambutan Hari Tentera Laut ke-90.

AW139 yang membawa tujuh anak kapal itu terhempas di tangga stadium TLDM manakala helikopter Fennec bersama tiga anak kapal merempuh kolam renang di kompleks sukan berkenaan.

Kejadian berkenaan menyebabkan 10 kru terkorban.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain