suria

Nasib mangsa cedera kes pokok tumbang terbela... Pemandu e-hailing layak terima faedah Perkeso

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim menyantuni mangsa insiden pokok tumbang Jalan Sultan Ismail.

SELASA lalu warga Kuala Lumpur dikejutkan dengan insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail yang meragut satu nyawa manakala seorang lagi cedera.

Mangsa cedera yang merupakan seorang pemandu e-hailing, Abdul Hayyi Al Hakimi Nazli, 26, ketika kejadian sedang dalam perjalanan menghantar penumpang ke Wisma Hong Leong di Jalan Perak.

Abdul Hayyi mengalami kecederaan pada bahagian kepala, dada termasuk lengan dan seterusnya menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dia kini sedang berehat di rumah ibu saudaranya di Putrajaya.

Sumbangan wakallah oleh Perkeso diserahkan kepada mangsa.

Walaupun ditimpa musibah yang tidak disangka-sangka, Abdul Hayyi bernasib baik kerana dia merupakan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sekali gus layak menerima beberapa faedah yang boleh meringankan beban.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong yang menziarahi mangsa di rumah keluarganya berkata Abdul Hayyi aktif mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

"Oleh itu dia layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara iaitu cuti sakit dengan kadar RM41.33 sehari serta boleh memohon tuntutan faedah perubatan dan rawatan rehabilitasi," ujar Steven Sim.

ARTIKEL BERKAITAN: Pokok besar tumbang di Jalan Sultan Ismail, hempap kenderaan dan landasan monorel

Dalam ziarah itu juga Steven Sim menyampaikan sumbangan wakallah dan kotak prihatin Perkeso kepada Abdul Hayyi.

Steven Sim turut berterima kasih kepada pihak Grab Malaysia yang menaja caruman Abdul Hayyi sebanyak 10 peratus menerusi padanan caruman skim pekerjaan sendiri

"Perkara ini sejajar dengan inisiatif Belanjawan 2024 yang melayakkan pencarum dilindungi Perkeso. Suka saya ingatkan, individu bekerja sendiri amat digalakkan untuk mencarum di bawah SKSPS sebagai jaringan keselamatan sosial mereka

"Tragedi boleh berlaku pada bila-bila masa, dengan adanya perlindungan ini ia sekurang-kurangnya dapat memberikan sokongan kewangan, selain meringankan beban ke atas pencarum atau waris apabila ditimpa bencana," jelas Steven Sim.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain