suria

Besi jatuh lori, pemandu kereta di belakang cedera tertusuk! Tembus lengan sampai terkena rusuk kiri

Foto tular dikongsikan oleh ahli keluarga selepas kejadian.

SEBATANG besi sepanjang 0.75 meter dipercayai terjatuh daripada sebuah lori melayang menembusi cermin hadapan sebuah kereta hingga mencederakan pemandunya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang Rabu itu, seorang tukang rumah, Jamaludin Amin, 45, dari Kampung Penor cedera akibat tertusuk batang besi di rusuk kiri ketika dia memandu di Jalan Pantai Sepat, Kuantan, Pahang.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Alza sedang dalam perjalanan ke arah Tanjung Lumpur.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, sebatang besi dipercayai jatuh daripada sebuah lori arah bertentangan terkena cermin depan sebelum tembus masuk ke dalam kereta dan menusuk lengan serta rusuk mangsa.

"Mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan untuk rawatan lanjut," katanya.

Tambah Zahari, kes disiasat di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana cuai hingga mendatangkan kecederaan terhadap orang awam.

"Usaha mengesan pemandu serta lori terlibat masih dijalankan. Berdasarkan maklumat awal, lori terbabit dipercayai berwarna hijau jenis roro membawa sisa bahan binaan.

"Bagaimanapun nombor pendaftarannya belum dapat dipastikan," jelasnya pada Khamis.

Kata Zahari lagi, pihaknya juga sedang mengesan saksi awam yang mungkin melihat kejadian untuk membantu siasatan.

Terdahulu, hantaran berbentuk gambar dan info ringkas berhubung kejadian berkenaan tular di Facebook selepas dikongsikan individu dipercayai ahli keluarga mangsa.

Wanita itu turut memohon bantuan pengguna jalan raya yang mungkin terakam kejadian melalui kamera papan pemuka (dashcam) bagi mengesan lori terlibat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain