suria

Gara-gara bergaduh, bekas teman sebilik simbah rakan dengan asid sulfurik!

Tertuduh berdepan dengan dua tuduhan kerana mencederakan rakan sendiri.

SEORANG penuntut universiti didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan atas dua pertuduhan menyimbah asid kepada rakannya, hingga menyebabkan mangsa cedera parah dalam kejadian pada 3 Mei lalu.

Sejurus selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad, tertuduh, A Keertana Naidu, 22 memohon dibicarakan.

Dalam tuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Nurul Husna Rahim, 22, dengan menggunakan cecair melecur iaitu asid sulfurik.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat.

Manakala bagi pertuduhan kedua, Keertana didakwa memiliki bahan kakisan iaitu asid sulfurik yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa tertuduh bercadang hendak menggunakan bahan itu bagi menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Kesalahan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) 1958 yang boleh dihukum di bawah akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun dan disebat.

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah kena asid, individu faham derita Faisal Halim... Mula-mula masih boleh tahan, ‘sakit ya amat’ lepas serap dalam daging

Kedua-dua pertuduhan itu dilakukan di Pejabat Jabatan Keselamatan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan, pukul 4.23 petang, pada 3 Mei lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Azeezi Nordin.

Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana ia merupakan satu kesalahan serius dan tertuduh dengan mangsa saling mengenali.

"Terdapat pertikaian masalah yang timbul antara mereka dan tertuduh sanggup datang dari Johor dengan membawa satu botol asid. Ia satu risiko yang tinggi jika tertuduh dijamin," katanya.

Sementara itu, Azeezi mohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin memandangkan tertuduh adalah seorang pelajar universiti di Pagoh, Johor.

"Mereka (tertuduh dan mangsa) berkawan dan pernah tinggal sebilik ketika belajar di Kolej Matrikulasi. Keluarga kedua-dua juga saling mengenali.

"Saya mohon mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin kerana dia perlu kembali ke universiti untuk sambung belajar," katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa.

Selain itu, tertuduh juga diminta melapor diri setiap bulan di balai polis terdekat sehingga kes selesai.

Susulan itu, mahkamah menetapkan 9 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain