suria

Speaker DUN Kedah Tunggu Sijil Kematian Azizan Sebelum Maklumkan SPR

ALOR SETAR: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Datuk Md Rozai Safian akan menghantar surat makluman mengenai kekosongan kerusi DUN Sungai Limau kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebaik menerima sijil kematian penyandang kerusi itu, Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Katanya, proses memaklumkan SPR itu akan dibuat secepat mungkin supaya SPR dapat melakukan tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, kekosongan kerusi itu berlaku berikutan kematian bekas Menteri Besar Kedah itu pada Khamis.

"Selepas itu (beliau memaklumkan SPR) baru SPR boleh mesyuarat untuk tentukan tarikh pilihan raya kecil," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Azizan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pukul 11.05 pagi berikutan jangkitan kuman dan kegagalan organ dalaman yang pelbagai, selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.

Allahyarham mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau yang dimenanginya sejak 1995 pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) Mei lalu, selepas menewaskan sepupunya Fazillah Mohd Ali dari Barisan Nasional (BN), dengan majoriti 2,774 undi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain