suria

Zainul Fitri Kemuka Rayuan Tanding MT Umno

Mohd Zainul Fitri Othman
Mohd Zainul Fitri Othman
Mohd Zainul Fitri Othman

KUALA LUMPUR: Prof Datuk Dr Mohd Zainul Fitri Othman yang disahkan tidak layak bertanding bagi jawatan Majlis Tertinggi (MT) Umno, menyerahkan surat rayuan kepada ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Jumaat.

Pengerusi Tetap Umno cawangan Gombak Setia itu berharap kepimpinan parti dapat menimbang rayuannya untuk bertanding jawatan itu pada pemilihan parti bulan depan.

"Tujuan saya bertanding ialah untuk membalas jasa yang selama ini dicurahkan oleh Umno kepada saya melalui dasar pendidikannya yang memberi saya peluang ke tahap tertinggi dalam bidang akademik," katanya ketika ditemui sebelum menyerahkan surat rayuan itu di PWTC.

Timbalan Naib Canselor Management & Science University (MSU) itu berkata sehingga kini beliau belum mendapat surat atau panggilan rasmi daripada Umno yang menyatakan beliau tidak layak bertanding, dan hanya mengetahuinya menerusi laporan akhbar.

Pada Khamis, Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh mengesahkan Dr Mohd Zainul dan Tun Faisal Ismail tidak layak bertanding bagi jawatan itu kerana tidak memenuhi syarat minimum pertandingan iaitu pernah menjadi anggota jawatankuasa (AJK) Bahagian sekurang-kurangnya sepenggal.

Dr Mohd Zainul berkata pihak Umno perlu menjelaskan syarat-syarat itu dengan terperinci.

"Apakah AJK Bahagian itu termasuk AJK Bahagian bagi sayap-sayap juga," katanya yang juga AJK Bahagian Pemuda Umno Setiawangsa.

Sekiranya rayuan beliau ditolak, beliau akur dengan keputusan itu dan berhasrat untuk bertanding sekali lagi bagi jawatan MT pada pemilihan Umno tiga tahun akan datang.

"Saya juga bertanding bagi jawatan AJK Umno Bahagian Gombak pada pemilihan kali ini," katanya sambil menambah keputusan rayuannya dijangka diketahui pada 7 Oktober ini.

Selain Dr Mohd Zainul Fitri yang memegang nombor calon 11, Tun Faisal yang memegang nombor calon 60 juga digugurkan dari senarai bertanding MT atas alasan sama.

Senarai calon yang layak bertanding bagi semua peringkat pada pemilihan Umno bulan depan hanya akan dimuktamadkan pada 7 Okt ini. -BERNAMA

Artikel Lain