suria

Mangsa Syarikat Pelaburan Emas Bestino Dinasihati Fail Afidavit

PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan menasihati mangsa syarikat pelaburan emas Bestino Group Bhd (Bestino) yang ingin mendapatkan semula pelaburan mereka supaya memfailkan afidavit.

Jurucakap kementerian itu, Datuk S. Kumaran berkata sungguhpun kes itu sedang berjalan, mereka masih boleh mendapatkan bantuan mahkamah untuk membantu mendapatkan semula apa jua wang kepunyaan mereka.

"Kami nasihat mangsa supaya memfailkan afidavit. Kami juga sedia membantu mereka yang tidak mempunyai peguam," katanya selepas bertemu pelabur Bestino di kementerian itu pada Khamis.

Pada Jun 2009, Bestino, yang sebelum ini dikenali sebagai Bestino Golden House Sdn Bhd, diserbu Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti kerana disyaki mengambil deposit secara haram.

Sejumlah 6,764 pelabur dikatakan melabur RM411 juta dalam syarikat itu.

Bank Negara merampas aset bernilai RM24.2 juta daripada Bestino mengikut Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Ini mengakibatkan pelabur meminta bantuan Kementerian Kewangan untuk memperoleh semula pelaburan mereka.

Kumaran berkata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah benar-benar ingin membantu pelabur tetapi akaun pelaburan telah dibekukan sebagai bukti.

"Hanya hakim yang boleh membuat keputusan tentang perkara ini, jadi pelabur seharusnya memohon pertimbangan mahkamah.

"Bagaimanapun Seksyen 61 (1) Akta Amlafta membolehkan pihak ketiga yang bonafide kemukakan kepada mahkamah sebab-sebab kenapa wang tidak boleh disita dan harus dipulangkan, ini satu-satunya jalan boleh membantu pelabur Bestino mendapat semula RM24 juta," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Didakwa Bunuh Suami

Artikel Lain