suria

RSPO Kenal Pasti Anggotanya Dipercayai Penyebab Kebakaran Di Indonesia

KUALA LUMPUR: Inisiatif Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) mengenal pasti lima daripada anggotanya yang dilaporkan secara meluas didakwa terlibat dalam kebakaran hutan di Indonesia pada masa ini.

Mereka ialah syarikat Indonesia iaitu PT Jatim Jaya Perkasa dan Sinar Mas dan syarikat Malaysia iaitu Tabung Haji Plantations, Kuala Lumpur Kepong dan Sime Darby.

Setiausaha Agung RSPO Darrel Webber berkata kelima-lima anggota itu akan diarah mengemukakan peta-peta digital mengenai perladangan mereka di Kalimantan dan Sumatera dalam tempoh 48 jam untuk disiasat.

Peta-peta itu akan digunakan untuk dinilai dan dianalisis dengan pemetaan yang diterbitkan mengenai kebakaran hutan oleh NASA (Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan) dan NOAA (Pentadbiran Kelautan dan Atmosfera Kebangsaan), katanya dalam satu kenyataan.

Analisis itu akan membantu untuk pengesahan lokasi kebakaran hutan berbanding dengan lokasi ladang yang dimiliki syarikat-syarikat anggota ini, yang kemudiannya akan membentuk asas bagi langkah seterusnya dalam siasatan, katanya.

Beliau berkata pencemaran alam sekitar yang disebabkan pembakaran hutan di Indonesia yang menyelubungi beberapa negara di Asia Tenggara sehingga ke paras berbahaya adalah amat dikesali.

RSPO dengan tegasnya mengutuk mana-mana kegiatan yang begitu cuai berhubung dengan keadaan itu, kata Webber.

RSPO amat prihatin dengan kesan ke atas masyarakat dan kanak-kanak yang tinggal di negara-negara berkenaan dan amat menyokong tindakan segera diambil untuk menghentikan pencemaran yang berlaku sekarang, katanya.

Webber memberi jaminan sebagai pertubuhan pelbagai kepentingan dan skim persijilan bagi minyak sawit lestari, prinsip dan kriteria RSPO jelas menunjukkan pembakaran terbuka tidak dibenarkan.

Beliau berkata mana-mana anggota pertubuhan yang terlibat akan diarah untuk segera menghentikan mana-mana kegiatan pembakaran terbuka yang disebabkan oleh mereka dan RSPO akan mengambil tindakan pemulihan terhadap syarikat-syarikat ini jika pembakaran hutan disebabkan tindakan kecuaian.

Berdasarkan laporan World Resources Institute, Webber berkata 47 peratus kebakaran di Indonesia berpunca dari luar hutan atau ladang kelapa sawit, 20 peratus bermula di ladang kayu balak, 20 peratus di ladang kelapa sawit, empat peratus di kawasan yang dilindungi dan satu peratus di kawasan pembalakan.

Dalam kenyataan yang sama, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata syarikat itu menyokong penuh inisiatif yang diambil RSPO.

Beliau mengulangi komitmen dan pematuhan Sime Darby berhubung dasar pembakaran sifar seperti yang terkandung dalam semua operasi perladangan kelapa sawitnya.

Ketua Bahagian Kemampanan Kuala Lumpur Kepong, Sin Chuan Eng berkata syarikat itu akan mengatur usaha bagi mengemukakan peta-peta digital perladangannya kepada RSPO dan bekerjasama sepenuhnya semasa proses siasatan yang dicadangkan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain