suria

222 Ahli Parlimen Angkat Sumpah Hari Ini

KUALA LUMPUR: Seramai 222 Ahli Parlimen akan mengangkat sumpah pada Isnin bagi mengesahkan kedudukan mereka sebagai anggota Dewan Rakyat.

Upacara mengangkat sumpah ini berlangsung 49 hari selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diadakan pada 5 Mei lalu.

Persidangan pertama Dewan Rakyat yang bermula pada pukul 10 pagi Isnin akan dimulakan dengan pemilihan Yang Dipertua (YDP) Dewan sebelum majlis angkat sumpah Ahli Parlimen dijalankan.

Berdasarkan aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat, semua 222 Ahli Parlimen bagi penggal ke-13 kemudiannya akan mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua dewan yang baru mengikut Perkara 59 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Selepas selesai upacara mengangkat sumpah, persidangan akan diteruskan dengan usul untuk menamakan dua Timbalan Yang Dipertua.

Bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dijangka akan dinamakan semula oleh pihak kerajaan ke jawatan yang pernah disandangnya itu bagi penggal ini.

Bagaimanapun kedudukan itu bakal menyaksikan pertandingan apabila pembangkang menamakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai YDP.

Begitu juga dengan kedudukan timbalan speaker apabila Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee disebut-sebut mungkin akan dikekalkan sebagai timbalan.

Jawatan timbalan YDP menyaksikan satu kekosongan setelah Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Bagi mengisi kekosongan itu, pakatan pembangkang menamakan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar sebagai calon timbalan YDP.

Persidangan Dewan Rakyat selama 16 hari itu merupakan mesyuarat pertama, penggal pertama Parlimen ke-13 yang diadakan selepas pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Komposisi Ahli Parlimen kali ini ialah 133 Barisan Nasional (BN), DAP (38), PKR (30) dan PAS (21).

Daripada keseluruhan 222 Ahli Parlimen, 98 daripanya adalah muka baharu.

Bagaimanapun tiada wakil konsesi Bebas pada persidangan penggal ini.

Pada mesyuarat kali ini tiga rang undang-undang baharu akan dibentangkan iaitu Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Pesekutuan) 2013, Rang Undang-Undang Tatacara Mahkamah Syariah (Wilayah -Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2013 dan Rang Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2013.

Artikel Lain