suria

Abdul Kudus Menang Saman Fitnah Terhadap Kayveas, NSTP

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya Abdul Kudus Ahmad berjaya dalam saman fitnahnya terhadap bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr M.Kayveas dan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Geok Yiam membuat keputusan itu selepas mendapati Kayveas dan NSTP bertanggungjawab memfitnah Abdul Kudus.

Sehubungan itu, Su memerintahkan Kayveas membayar ganti rugi am kepada Abdul Kudus serta faedah lima peratus dari tarikh saman dikemukakan sehingga penyelesaian penuh. Beliau turut memerintahkan NSTP membayar ganti rugi am, teruk dan teladan kepda plaintif.

Mahkamah menetapkan 11 Julai sebagai pengurusan kes bagi taksiran ganti rugi.

Abdul Kudus memfailkan saman itu pada 2004 berhubung satu artikel dalam akhbar the Malay Mail bertarikh 29 Mei 2003 dan menamakan Kayveas serta NSTP sebagai defendan.

Artikel itu dikatakan mengandungi kenyataan Kayveas yang mendakwa Abdul Kudus melakukan penyelewengan.

Kayveas dan NSTP berjaya membatalkan saman itu menerusi satu permohonan di Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, pada 23 Mei 2011, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Abdul Kudus dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum menghidupkan semula saman berkenaan.

Penyataan tuntutan Abdul Kudus mendakwa kenyataan Kayveas dalam artikel Malay Mail mencemarkan reputasi serta imejnya.

Abdul Kudus berkata perkataan yang digunakan defendan bertujuan memalukan, merosakkan serta mencemar imej beliau sebagai pengarah penguatkuasa sebuah majlis perbandaran sehingga menyebabkan beliau dipecat.

Abdul Kudus diwakili peguam G.Ganeson manakala K.Kavitha bagi pihak NSTP. - BERNAMA

Artikel Lain