suria

Tidak Ada Kewajaran Lanjutkan Lagi Tempoh Pembinaan KLIA2 - MAHB

KUALA LUMPUR: Tidak ada kewajaran untuk melanjutkan lagi tempoh pembinaan klia2 dan justeru itu Ganti Rugi yang Ditentukan dan Ditetapkan (LAD) akan dikenakan, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

MAHB dalam satu kenyataan berkata, ia akan terus bekerjasama rapat dengan kontraktor terbabit bagi menyelesaikan masalah mereka dengan cara yang paling baik.

"Tempoh lanjutan telahpun diberikan kepada kontraktor yang telahpun diambil kira bagi semua perubahan yang diminta daripada semua pemegang kepentingan klia2," kata syarikat itu.

MAHB percaya punca kelewatan itu meskipun komitmen berulang adalah disebabkan sumber yang tidak mencukupi untuk menyiapkan kerja mengikut program dan tarikh akhirnya.

Syarikat itu juga berkata, pada ketika ini semua arahan perubahan telah diselesaikan dan pada masa ini dengan keseluruhan projek telah 90 peratus siap, kos masih di bawah RM4.0 bilion.

Pada tahap ini tarikh baru tidak boleh ditentukan melainkan dan sehingga program kerja terperinci dan perancangan sumber oleh kontraktor terlibat boleh diteliti oleh pasukan dan perunding pengurusan projek.

"Ini bagi membolehkan MAHB berasa yakin tidak akan ada lagi kelewatan bagi tarikh penyiapan seperti yang berlaku sebelum ini," kata syarikat itu.

MAHB berkata, ia telah menjangkakan kesesakan di Terminal Penerbangan Tambang Rendah yang ada sekarang dan berbincang dengan AirAsia serta syarikat penerbangan lain tentang pelan tindakan untuk menangani isu-isu kapasiti.

"LCCT merupakan sebahagian daripada sistem lapangan terbang KLIA, dan justeru itu akan dapat memanfaatkan keseluruhan kapasiti KLIA," kata syarikat itu," kata syarikat itu. - BERNAMA

Artikel Lain