suria

PAS Tetap Pertahan Tuntutan Royalti Untuk Rakyat Kelantan - Ahmad Yakob

KOTA BARU: Meskipun tidak diperakui oleh Kerajaan Pusat bahawa Kelantan berhak mendapatkan tuntutan royalti minyak dan gas, pimpinan PAS negeri akan terus berjuang untuk menuntut hak rakyatnya.

Timbalan Pesuruhjaya PAS 1 Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menegaskan mengenai satu perjanjian bahawa negeri itu layak menerima royalti 5 peratus melalui kesepakatan yang dicapai dengan Petronas sejak tahun 1975.

"Sebagai sebuah kerajaan berkebajikan, kita tetap akan menuntut hak berkenaan memandangkan Umno (didakwa) merampas harta rakyat.

"Isu ini (royalti) akan tetap dibawa ke muka pengadilan. Jika rakyat memberi mandat kepada Kerajaan PAS, dengan royalti yang diperolehi nanti kita yakin dapat melaksanakan sembilan tawaran oleh parti di bawah misi keberkatan, kemakmuran dan kebajikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengumumkan sembilan tawaran dalam manifesto PAS Kelantan untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) di sini, Khamis.

Ditanya mengenai usaha PAS yang hanya akan mengganggu urusan jawatankuasa khas menjalankan kajian berkenaan tuntutan itu, Ahmad berkata, perkara tersebut seharusnya diperjelaskan memandangkan rakyat perlu mengetahui tentang hak mereka.

"Ini perlu walaupun ramai yang mempertikaikan usaha kami termasuk NGO (badan bukan kerajaan) yang berusaha membantu kerajaan PAS dalam soal royalti ini. Kita perlu dedahkan perkara ini habis-habisan," katanya.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, dengan hak yang sepatutnya diperolehi kerajaan negeri, beliau yakin PAS dapat melaksanakan sembilan tawaran dalam manisfesto parti di negeri itu.

Beliau berkata, tuntutan royalti minyak dan gas merupakan antara sembilan tawaran di bawah memperjuangkan hak rakyat negeri atas prinsip federalisme (perlembagaan).

"Daripada hasil tuntutan royalti minyak dan gas ini akan dikongsi bersama rakyat Kelantan dengan 23 sub-tawaran," katanya.

Beliau menambah, antara 23 sub-tawaran itu ialah bantuan elaun penjagaan anak-anak berumur di bawah 12 tahun RM100 untuk setiap keluarga, bantuan warga emas RM1,000 seorang, sumbangan ibadat Haji kali pertama RM1,000 seorang, bantuan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi RM1,000 seorang, air percuma untuk masjid, sekolah dan rumah ibadat serta memansuhkan cukai pintu rumah kediaman.

Artikel Lain