suria

Caruman Takaful Warga Emas Dalam Bentuk Khairat Kematian - MB Selangor

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri membayar caruman takaful kepada warga emas dalam bentuk khairat kematian.

Jika ada warga emas yang mendaftar dengan kerajaan negeri meninggal dunia, kerajaan negeri akan memberi RM2,500 kepada keluarganya, inilah yang dimaksudkan caruman takaful itu, katanya kepada pemberita, di sini Selasa.

Abdul Khalid diminta mengulas mengenai hasrat sekumpulan warga emas di Selangor yang mahu menyaman kerajaan negeri bagi menuntut caruman takaful yang dijanjikan pakatan pembangkang menerusi manifesto pilihan raya umum 2008.

Ditanya mengenai dakwaan ada perbezaan antara khairat kematian dan caruman takaful itu, Abdul Khalid berkata beliau tidak tahu mengenainya dan meminta kumpulan warga emas terbabit membawa isu berkenaan ke mahkamah. "Boleh, boleh, teruskanlah ke mahkamah, itu memang digalakkan," katanya yang ditemui selepas pertemuan dengan guru besar dan guru kanan sekolah agama seluruh Selangor, di sini.

Semalam, sekumpulan warga emas berhimpun secara aman bagi menuntut kerajaan Selangor membayar caruman takaful RM2,500 kepada golongan warga emas di negeri itu dengan jumlah keseluruhan RM1.25 bilion, seperti yang dijanji dalam manifesto pembangkang pada pilihan raya umum ke-12.

Mengenai syarikat pemaju Dolomite Sdn Bhd yang mendakwa tidak mendapat pampasan akibat pembatalan projek kondominium Dolomite Park Avenue berhampiran Batu Caves, beliau berkata syarikat itu perlu berhubung dengan Majlis Perbandaran Selayang mengenai perkara tersebut.

Beliau juga berkata pemaju turut bertanggungjawab terhadap nasib pembeli kondomonium berkenaan.

Cadangan projek kondominium setinggi 26 tingkat itu dibatalkan selepas mendapat bantahan kerana didakwa boleh melemahkan struktur tanah dan mengancam kedudukan kuil Hindu di Batu Caves. -BERNAMA

Artikel Lain