suria

Polis Buru Suspek Bunuh Warga Emas Dalam Kuil

GEORGE TOWN: Polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes bunuh lelaki warga emas di tempat simpanan barang kuil Hindu di Lebuh Penang, di sini Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata imej suspek itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan telah dianalisis pegawai penyiasat.

"Rakaman itu menunjukkan seorang lelaki berkulit gelap dengan ketinggian kira-kira 170 sentimeter memecah masuk premis menerusi pintu belakang pada pukul 11 malam, pada hari kejadian," katanya kepada pemberita, di sini, Jumaat.

Mayat P. Muthu, 80, ditemui pada pukul 5 petang dengan kesan kelar di leher, wajah serta mulut disumbat kain dan dipercayai telah meninggal dunia lebih 12 jam sebelum ditemui anaknya.

Gan berkata polis telah menubuhkan satu pasukan khas diketuai seorang pegawai dan tujuh anggota bagi menjejaki suspek terbabit.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menghubungi balai polis berdekatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain