suria

Dewan Negara Lulus Rang Undang-Undang Perubatan Tradisional Dan Komplementari 2012

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Perubatan Tradisional dan Komplementari 2012, yang mewajibkan semua pengamal perubatan tradisional mendaftar dengan Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari yang akan ditubuhkan, diluluskan Dewan Negara, Isnin.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu berkata gelaran doktor hanya akan diberikan kepada pengamal perubatan tradisional dan komplementari berkelayakan dengan lima tahun ijazah asas, selain memenuhi kelayakan yang akan ditentukan oleh majlis kelak.

"Rang undang-undang ini tidak membenarkan individu yang hanya mengikuti kursus pendek untuk menggunakan gelaran doktor, contohnya Dr (H) untuk pengamal Homeopathy," katanya.

Beliau berkata terdapat 13,811 pengamal perubatan tradisional dan komplementari yang berdaftar dengan kementerian itu di seluruh negara setakat ini.

Mengenai perubatan Islam atau Rukyah, beliau berkata Kementerian Kesihatan telah menerbitkan buku 'Garis Panduan dalam Perubatan Islam' yang perlu diikuti oleh pengamalnya.

"Perubatan Islam Rukyah ialah ikhtiar penyembuhan penyakit rohani dan jasmani oleh seorang Islam yang mahir dalam kaedah rawatan dengan mengggunakan ayat-ayat al-Quran atau hadis serta menggunakan bahan-bahan atau kaedah yang dibenarkan syarak. Terdapat 600 pengamal perubatan cara ini yang berdaftar dengan kementerian," katanya.

Rosnah berkata terdapat lapan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan yang menawarkan program pengajian akademik dalam bidang perubatan tradisional dan komplementari.

"Kursus yang ditawarkan termasuk Degree Programme for Traditional Chinese Medicine, Bachelor of Traditional Chinese Medicine dan Bachelor of Homeopathy.

"Antara IPT berkenaan ialah Kolej Southern di Skudai, Universiti Tuanku Abdul Rahman, Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya (CUCMS), Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) dan Melaka College of Complementary Medicine (MCCM)," katanya.

Persidangan dewan disambung esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain