suria

PRU13: Ahli Umno Perlu Bekerja Luar Biasa

KUALA LUMPUR: Ahli Umno perlu bekerja luar biasa dengan mencontohi sikap Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merampas kembali kerusi yang telah kalah pada pilihan raya umum (PRU) 2008.

Perwakilan Wilayah Persekutuan, Datuk Yahya Mat Ghani berkata, kekalahan di kerusi-kerusi dalam PRU 12 perlu dijadikan ikhtibar untuk bekerja lebih kuat.

Katanya,ahli parti perlu sama mengikuti pendekatan Presiden yang turun padang berjumpa rakyat di bandar dan luar bandar. "Ahli mesti kerja luar biasa. Pada PRU 2008, ada kerusi yang kita kalah. Justeru, kita mesti rampas kembali kerusi yang kita kalah.

"Presiden sendiri menempuhi pelbagai cabaran dan dugaan. Apakah kita yang berada di atas kapal ini turut meredah gelombang yang sama.

"Apakah kerja yang luar biasa telah kita lakukan..Hanya ALLAH SWT yang tahu," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno ke-66 di Pusat Dagangan Dunia Putra, pada Khamis.

Beliau yang juga Ketua Umno bahagian Batu turut mengingatkan ahli parti supaya tidak mengamalkan 'cah keting' dengan memberi sokongan kepada calon yang dipilih oleh parti.

Sementara itu, perwakilan Melaka, Datuk Hasnoor Husin pula menggesa ahli parti untuk turut sama berjuang dengan Presiden parti dalam memastikan kemenangan Umno pada PRU13.

"Kita perlu yakin dan percaya, kalau perlu mati bersama-sama, berjuang bersama-sama..usah biarkan Presiden kita bersendirian.

"Tiupkan semboyan..kita akan berikan hadiah istimewa pada PRU13 nanti," katanya.

Hasnoor yang juga Ketua Umno bahagian Bukit Katil berkata ahli parti perlu sokong siapa juga calon Umno mahupun parti komponen yang telah dipilih di kawasan mereka.

"Apabila parti letak calon kita kena yakin dan beri ketaatan kepada parti.

"Jangan ada sabotaj parti. Simpanlah semua iri hati, sakit hati dan dendam dalam almari...beri penuh kepercayaan kepada presiden untuk tentukan calon-calon yang diyakini boleh menang," katanya.

Artikel Sebelum

Universiti Ketawa...

Artikel Lain