Penoreh Maut Diserang Dua Lelaki Cuba Menyamunnya - Semasa | mStar

Penoreh Maut Diserang Dua Lelaki Cuba Menyamunnya

KLUANG: Seorang penoreh maut akibat diserang dua lelaki yang cuba menyamunnya berhampiran sebuah restoran di Jalan Besar, Kampung Baharu Yap Tau Sah di sini pagi Rabu.

Nam Yu Yai, 72, dari Taman Bahgia dipercayai diserang kira-kira pukul 4.40 pagi ketika dia menaiki motosikal untuk menoreh di Sri Lalang.

"Polis dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 5.45 pagi menerusi laporan anaknya. Siasatan awal polis mendapati Nam dicedera dan dihentak di kepala selepas dia dipercayai enggan menyerah telefon bimbit dan barangan berharga lain kepada dua lelaki terbabit," kata Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Abdul Majid Mohd Ali kepada pemberita.

Namun beliau berkata, suspek hanya berjaya melarikan kunci motosikal mangsa dan gagal melarikan motosikal, telefon bimbit dan barangan lain milik mangsa.

Mangsa dipercayai sempat berjalan sambil menyorong motosikalnya untuk meminta bantuan di sebuah restoran berhampiran, sebelum dia rebah, katanya.

Nam mengalami pendarahan teruk di kepala walaupun memakai topi keledar dan dia dihantar seorang rakan ke Hospital Kluang dan disahkan meninggal dunia pada pukul 8 pagi.

Abdul Majid berkata, pihaknya sedang mengesan dua suspek berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang di talian 07-7766822 atau menghubungi Pegawai Penyiasat di talian 019-7072231.

Sementara itu isteri mangsa, Low Kon Fa , 65, berkata suaminya sempat menghubunginya melalui telefon bagi meminta bantuan sebelum tidak sedarkan diri.

"Dia memberitahu dia cedera kerana disamun lalu menyuruh saya datang membantu. Apabila saya sampai di hadapan restoran tersebut, saya lihat dia saya sudah tidak sedarkan diri.

"Doktor mengesahkan dia tidak dapat diselamatkan kerana mengalami kecederaan teruk di kepala,” katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain