suria

BN P. Pinang Gesa Mansor Bercakap Benar

GEORGE TOWN: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang menggesa Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mansor Othman membuktikan beliau berani kerana benar berhubung kenyataannya yang mengkritik Ketua Menteri Lim Guan Eng baru-baru ini.

Pengerusi BN Negeri Teng Chang Yeow berkata tindakan Mansor berdolak-dalik dalam memberi kenyataan kepada media menunjukkan Pengerusi PKR Pulau Pinang itu seorang pemimpin yang tidak berani.

"BN tidak pernah nak campur urusan dalaman parti mereka tetapi kalau beliau dah buat dan cakap sebegitu, mengapa mesti takut untuk mengaku, tindakan beliau berdolak-dalik menunjukkan Timbalan Ketua Menteri I itu tidak matang dalam politik.

"Kami (BN) cabar beliau tunjukkan kejantanannya dan bercakap benar kerana ia melambangkan kepimpinan beliau sendiri.

"Sebagai seorang pemimpin beliau tidak boleh cakap cincai-cincai, iaitu hari ini cakap lain esok cakap lain," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat BN negeri di sini, Khamis.

Mansor baru-baru ini didakwa telah mengkritik Lim dengan menyifatkan ketua menteri itu sebagai angkuh dan sombong dalam mesyuarat parti berkenaan April lepas.

Bagaimanapun pada sidang medianya, Mansor menafikan dakwaan laporan sebuah blog itu dan berkata beliau tidak mengeluarkan perkataan sombong dan angkuh, seperti yang dilaporkan tetapi mengakui ada mengeluarkan perkataan merujuk Guan Eng sebagai 'tokong'.

Sementara itu, Teng berkata BN negeri telah merangka draf manifesto pilihan raya umum ke-13 dan dijangka siap pada penghujung bulan depan.

"Draf kerja dasar BN Pulau Pinang untuk tahun 2012 hingga 2020 dan PRU-13 telah siap dan kita akan mengadakan mesyuarat khas dengan parti komponen BN yang lain bagi memperhalusi dan memuktamadkannya untuk manifesto BN," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain