suria

Kerajaan Negeri Komited Pulihara Tasik Chini - Adnan

KUANTAN: Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata kerajaan negeri dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertanggungjawab memastikan Tasik Chini yang diwartakan sebagai Taman Pelancongan pada 1989, dipulihara sebaik mungkin.

Beliau turut menafikan aktiviti perlombongan dan pembalakan di kawasan sekitar tasik berkenaan yang menyebabkan pencemaran alam sekitar dan kemerosotan kualiti hidup.

"Berdasarkan laporan Pejabat Tanah dan Galian Pahang, pencemaran air di tasik itu tidak berlaku, pihak PTG melakukan kajian air setiap bulan," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Katanya, ketika ini terdapat lima syarikat yang melakukan aktiviti perlombongan dan pembalakan di kawasan itu.

"Perlombongan dan pembalakan itu bukan di dalam kawasan yang diwartakan. Syarikat lombong biji besi itu beroperasi sejak sebelum kawasan itu diwartakan sebagai Taman Pelancongan lagi," katanya.

Mengenai laporan bahawa tasik itu akan lenyap pada 2030, Adnan berkata ia merupakan laporan awal sebelum pelbagai usaha dan kajian pemuliharaan dilakukan.

"Pelbagai usaha pemuliharaan telah dibuat dan kerajaan negeri komited bagi memastikan tasik berkenaan yang diwartakan sebagai Taman Pelancongan itu terus dipulihara," katanya.

Mengenai kualiti hidup masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan, beliau berkata pelbagai program dirancang bagi meningkatkan kualiti hidup dan pendapatan kaum minoriti itu.

Katanya, satu kenyataan lengkap mengenai tasik itu akan dibuat berdasarkan laporan komprehensif pihak UKM, dalam tempoh terdekat.

Akhbar baru-baru ini melaporkan Transparency International Malaysia (TI) dan penduduk perkampungan Orang Asli di 11 kampung di Tasik Chini, Pekan Pahang, merayu Perdana Menteri supaya campur tangan bagi menyelesaikan masalah pencemaran alam sekitar dan kemerosotan kualiti hidup, di sekitar tasik itu.

Berikutan itu, lebih 10 wakil masyarakat Orang Asli dan TI diketuai Setiausaha Agungnya, Josie M Fernandez, menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri bagi meminta Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Anggota Parlimen Pekan, agar segera campur tangan menyelesaikan masalah terbabit.

Josie berkata, memorandum itu antara lain menyentuh pelbagai isu, termasuk pencemaran air dan kemerosotan kualiti hidup yang melanda masyarakat Orang Asli di Tasik Chini berikutan kegiatan pembalakan dan perlombongan yang tidak terancang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Kota Mula Balik Raya

Artikel Lain