suria

Penganggur Ditahan Selepas Tiga Jam Samun Rantai Emas

KUANTAN: Seorang lelaki tidak sempat "menikmati" hasil rantai emas yang diragutnya tiga jam sebelum itu, apabila dia ditangkap polis ketika menjual barang tersebut di sebuah kedai pajak gadai di pekan Benta, Raub, Isnin.

Ketua Polis Daerah Raub Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata penganggur berusia 30 tahun itu ditangkap selepas polis menerima laporan mengenai kejadian ragut yang berlaku di Kampung Batu Buaya, Raub tengah hari Isnin.

Kejadian itu berlaku pukul 12 tengah hari ketika mangsa yang berusia 63 tahun sedang mengutip sayur di belakang rumahnya. Suspek yang datang dari arah belakang bertindak menekup muka mangsa dengan sehelai baju sebelum meragut rantai emas bernilai RM5,000 dan menolak mangsa ke tanah, katanya ketika dihubungi di sini, Selasa.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan ringan pada tangan serta muka dan mendapatkan rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Benta, katanya.

Beliau berkata suspek yang kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan juga mengaku menjual rantai emas itu pada harga RM1,500. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain