suria

Pesara Didakwa Tipu Dua Peniaga RM53,450

KLANG: Seorang pesara dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini Isnin terhadap dua pertuduhan menipu dua peniaga RM53,450 bagi mendapatkan projek yang tidak wujud di sebuah syarikat penyelenggaraan kapal terbang.

Azmir Shakri Ab Hamid, 59, dari Petaling Jaya, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Ho Kwong Chin.

Tertuduh didakwa menipu Zubir Azarai, 49, dengan memperdaya bahawa dia boleh mendapatkan projek membuat 'step aircraft' di Syarikat Sepang Aircraft Engineering Sdn Bhd untuk Zubir dengan kadar bayaran tertentu dan dengan itu mendorong Zubir menyerahkan RM30,560 dengan cara memasukkan wang secara berperingkat ke dalam akaun bank milik tertuduh.

Azmir Shakri didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa cawangan CIMB Bank di sini antara 8 September 2011 dan 23 Februari 2012.

Tertuduh juga didakwa menipu M. Sahroni Basirin @ Ibrahim, 46, dengan memperdaya bahawa dia boleh mendapatkan projek membuat 'hanger cabinet' di Syarikat Sepang Aircraft Engineering untuk M. Sahroni dengan kadar bayaran tertentu dan dengan itu mendorong M. Sahroni membayar RM22,890 dengan cara memasukkan wang secara berperingkat ke dalam akaun tertuduh.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 27 Oktober 2011 dan 21 Februari 2012 juga di beberapa cawangan CIMB Bank di sini.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, Azmir Shakri didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Majistret Ho membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM5,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 5 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Noorbaya Jamil sementara tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain