suria

Noh Cabar Kerajaan Selangor Tunjuk Bukti BN Sebabkan Yayasan Rugi RM500 Juta

PUTRAJAYA: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar mencabar kerajaan Selangor supaya menyegerakan 'audit forensik' berhubung dakwaan kononya Yayasan Selangor mengalami kerugian RM500juta ketika Barisan Nasional (BN) memimpin negeri ini.

Noh berkata dakwaan tidak berasas itu adalah taktik pimpinan kerajan pakatan pembangkang untuk menutup kelemahan dan penyelewengan RM1.4 juta dalam menganjurkan pelbagai kegiatan yayasan pada 2010,termasuk sambutan ulang tahunnya yang ke-40 sekaligus mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu lain.

"Nampaknya Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) tidak mahu menerima bahawa di dalam pentadbiran mereka terdapat kelemahan. Sebaliknya mereka nak timbulkan isu lama yang kononnya semasa pentadbiran BN, Yayasan Selangor rugi RM500juta.

"Saya cabar sekali lagi kepada Menteri Besar dan kerajaan negeri tolong segerakan buat forensik audit mengenai dakwaan itu. Ini satu dakwaan untuk menutup kelemahan negeri," katanya pada sidang media sebelum menyaksikan majlis menandatangani Perakuan Keputusan Makmal bagi Pembinaan Sekolah Perikanan Kampung Acheh, Lumut, Perak di sini, Rabu.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, sejak mengambil alih pimpinan negeri ini, pakatan pembangkang hanya mencari kesalahan dan kelemahan pentadbiran BN lalu, tanpa menyiasat penyelewengan yang berlaku atau membawa pembangunan dan kemajuan kepada rakyat dan negari.

Noh juga mahu Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memohon maaf secara terbuka kepada beliau kerana apa yang didakwa selama ini berhubung penyelewengan dalam Yayasan Selangor(YS) terbukti benar.

"Bila dakwaan saya benar, maka Menteri Besar kena sambut cabaran saya. Dia kena minta maaf secara terbuka khususnya kepada saya. Sebab saya selalu katakan bahawa setiap butiran yang saya berikan pasti ada fakta. Saya tidak cakap perkara yang tidak ada fakta," katanya.

Menurutnya penyalahgunaan wang YS itu terbongkar berikutan keengganan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menghadiri majlis jamuan yang menurut baginda ia adalah suatu pembaziran.

Pada Selasa, Pengurus Besar Yayasan Selangor(YS), Ilham Marzuki mengakui melakukan kesilapan kerana meluluskan peruntukan RM1.4 juta untuk kegiatan tidak berfaedah serta tiada kaitan dengan fungsi yayasan itu sebagai institusi yang memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan.

Noh juga menyifatkan SELCAT sebagai mahkamah kangaroo yang cuba menutup kesalahan dan kelemahan kerajaan Selangor.

"Tengoklah apa hukuman kerajaan negeri nak bagi kepada Ilham (Pengurus Besar Yayasan Selangor) dia mengaku dia salah, guna tak ikut peraturan. Kita tengoklah apa hukuman, adakah berani dia dipecat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain