suria

Warga Afrika Maut Cuba Larikan Diri Daripada Polis

SUBANG JAYA: Seorang warganegara Afrika maut ketika cuba melarikan diri dari serbuan polis di sebuah apartmen 12 tingkat dekat sini.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Eddy, berusia dalam pertengahan 20-an, mati di tempat kejadian dengan kecederaan serius di kepala.

Dia dipercayai tergelincir selepas melompat pada paip pembetung dalam keadaan tergesa-gesa untuk melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Superintendan Yahaya Ramli berkata bertindak berdasarkan maklumat, polis menyerbu unit tersebut pada pukul 2.30 petang, di Taman Desa Millinea, Puchong, Khamis.

ACP Yahaya berkata penghuni berlari lintang-pukang selepas polis terpaksa membuka gril untuk masuk.

"Salah seorang suspek kemudian cuba melompat ke unit yang berasingan tetapi dia tergelincir dan jatuh.

"Pemeriksaan mendapati mangsa dari Liberia tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya.

ACP Yahaya berkata polis turut menahan lapan warga Afrika yang lain termasuk seorang wanita.

Beliau berkata mereka juga merampas 1.47gram ganja dalam unit kediaman dan semua suspek telah diuji positif kerana penyalahgunaan dadah.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Artikel Lain