suria

1.1 Juta Kaum Cina Belum Daftar Sebagai Pengundi - Cho Ha

KUALA LUMPUR: MCA menggesa rakyat Malaysia berketurunan Cina yang layak mengundi agar segera mendaftar sebagai pemilih, memandangkan terdapat kira-kira 1.1 juta daripada mereka yang belum berbuat demikian.

Setiausaha Agung parti Datuk Seri Kong Cho Ha berkata berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya, sehingga September lepas sejumlah 4.89 juta dari kaum Cina layak mengundi, namun 1.1 juta daripadanya belum mendaftar.

Ini bermakna satu daripada empat orang belum mendaftar sebagai pengundi, katanya dalam kenyataan, di sini, Rabu.

Menyifatkan fenomena itu sebagai serius, Kong berkata dengan mengambil kira situasi politik semasa yang mencabar pada pilihan raya umum akan datang, setiap keturunan Cina yang layak mesti mendaftar untuk membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab tersebut.

"Jika pemilih berketurunan Cina yang layak tidak mendaftar sebagai pengundi, mereka memberi tanggapan bahawa komuniti Cina tidak ambil peduli pasal politik, yang mana ini tidak benar," katanya.

Kong yang juga Menteri Pengangkutan berkata pengundi Cina sentiasa mengambil berat mengenai pembangunan negara pada masa depan dan aktif menyertai proses membina negara.

Oleh itu katanya, kaum Cina juga harus aktif dalam proses pilihan raya umum dan menggunakan undi mereka untuk memutuskan masa depan negara.

Beliau berkata pusat khidmat MCA dibuka untuk membantu rakyat Malaysia yang layak mendaftar sebagai pemilih. -BERNAMA

Artikel Lain