suria

Mangsa Banjir Di Pasir Puteh Meningkat

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Pasir Puteh, Kelantan meningkat setakat pukul 4 petang Isnin manakala mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan di Besut dan Setiu Terengganu dan Segamat, Johor berkurangan.

Di Pasir Puteh, jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat kepada 232 orang membabitkan 55 keluarga berbanding 120 orang pagi Isnin.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri berkata ini berikutan hujan yang sesekali lebat melanda jajahan itu sejak pagi, bagaimanapun tiada jalan utama ditutup kepada kenderaan.

Katanya kesemua mereka ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Awang, Sekolah Kebangsaan Kampung Nara dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kamil.

Setakat pukul 4 petang, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang melepasi paras bahaya pada 9.89 meter (bahaya 9 meter) manakala sungai-sungai utama lain masih di paras biasa walaupun paras air dilaporkan meningkat secara perlahan.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir di daerah Besut dan Setiu yang masih berada di pusat pemindahan berkurangan kepada 151 orang petang ini berbanding 568 orang pagi Isnin.

Menurut portal banjir kerajaan negeri, sehingga pukul 5 petang Isnin hanya enam pusat pemindahan masih beroperasi iaitu masing-masing tiga di Besut dan Setiu.

Di Besut, mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan ialah seramai 17 orang di balai serbaguna Kampung Kubur, surau Kayu Kelat (dua orang) dan Sekolah Bukit Tempurung (empat orang).

Di Setiu, terdapat 16 orang masih berada di pusat pemindahan di dewan sivik Desa Jaya, Masjid Guntong Luar (73 orang) dan Sekolah Kampung Besut (39 orang).

Paras air di kebanyakan sungai utama di negeri ini berada pada paras normal.

Di JOHOR, mangsa banjir di Segamat kekal seramai 60 mangsa di tiga pusat pemindahan sepertimana pagi Isnin.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara, kesemua mangsa membabitkan 10 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan di Kampung Spangloi, Kampung Batu Badak dan Kampung Pogoh.

Sementara itu, portal Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat dan Sungai Bekok di Empangan Bekok, Batu Pahat masih melebihi paras amaran di 8.78 meter dan 16.99 meter.

Penduduk di kawasan berkenaan diminta berjaga-jaga. - BERNAMA

Artikel Berikut

16 Rumah Kedai Hangus

Artikel Lain