suria

Polis Pulau Pinang Tahan Lima GRO Warga Vietnam

GEORGE TOWN: Polis menyerbu sebuah bilik di Hotel Gurney di sini lewat petang semalam dan menahan lima wanita warganegara Vietnam berumur dalam lingkungan 20-an yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO).

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata bertindak atas maklumat awam, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut membuat Ops Noda dan menyerbu sebuah bilik hotel bertaraf lima bintang itu.

Katanya sebelum ini, polis pernah membuat serbuan di hotel yang sama dan mereka didapati masih menjalankan kegiatan tidak bermoral itu.

Siasatan awal mendapati GRO terbabit menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk menjalankan kegiatan pelacuran dengan mengenakan bayaran minimum RM300 untuk perkhidmatan seks.

Kesemua wanita asing itu ditahan bagi membantu siasatan menurut Seksyen 55 (B) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi enam bulan dan denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali. - BERNAMA

Artikel Lain