suria

PPZ Wilayah Persekutuan Yakin Capai Sasaran Kutipan Zakat RM50 Juta Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan yakin mencapai sasaran kutipan zakat perniagaan sebanyak RM50 juta bagi tahun ini dengan jangkaan 1,500 pembayar, yang kebanyakannya terdiri daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pengerusinya, Datuk Mustafa Abdul Rahman berkata bagi 11 bulan pertama sahaja, PPZ telah mengutip kira-kira RM46.6 juta zakat tersebut berbanding 27.5 juta pada tempoh sama 2010.

"Ia merupakan peningkatan 69 peratus," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Percetakan Nasional Malaysia Bhd (PNMB) di sini Khamis.

Pada majlis itu, Pengarah Urusan PNMB Izham Yusoff menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM546,406 yang akan disalurkan kepada pihak Baitulmal untuk diagihkan.

Mustafa berkata, PPZ telah mengutip RM33.622 juta zakat perniagaan sepanjang tahun lepas dan RM29.114 juta pada 2009, iaitu peningkatan 15 peratus.

PPZ juga yakin 57 GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) berpotensi untuk membayar zakat bagi tahun ini.

"Terdapat 146 GLC dan GLIC di Malaysia di mana 77 daripadanya berada di Kuala Lumpur," kata Mustafa.

Pada tahun ini, katanya 20 GLC dan GLIC telah melaksanakan tanggung jawab membayar, satu peningkatan yang baik berbanding 11 yang masing-masing pada 2010 dan 2009.

Mustafa berkata, RM13.750 juta zakat perniagaan telah diterima dari GLC dan GLIC setakat ini.

Sementara itu, PPZ akan membuka kesemua kaunter di tujuh pusat pungutan zakatnya selama tujuh hari sepanjang bulan Disember bermula 8.15 pagi hingga 4.45 petang.

Pusat pungutan itu meliputi Ibu pejabat PPZ di Shamelin Perkasa; Daruzzakah, Kg Baru; Masjid Negara; Seksyen 5, Wangsa Maju; Taman Tun Dr Ismail; Presint 9, Putrajaya; dan di Ujana Kewangan, Labuan. - BERNAMA

Artikel Lain