suria

Seksualiti Merdeka Jadi Tajuk Perbahasan Hangat Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Program Seksualiti Merdeka 2011 yang sedang berlangsung di ibu negara menjadi tajuk perbahasan hangat beberapa anggota Parlimen hingga persidangan Dewan Rakyat pada Khamis menjadi kecoh seketika.

Ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 peringkat Jawatankuasa Kementerian Luar, Datuk Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim-Bandar Baharu) berkata program yang kononnya berteraskan perjuangan hak asasi manusia itu sebenarnya mempunyai unsur-unsur dan cubaan untuk memansuhkan Seksyen 377 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan perbuatan seks luar tabii sebagai satu kesalahan.

Persidangan menjadi semakin panas apabila Zulkifli cuba mengaitkan isu memansuhkan seksyen itu dengan kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. "Saya khuatir sebab dahulu ada seorang anggota pembangkang yang mahu Seksyen 377 ini dimansuhkan, adakah penganjuran itu juga untuk perkara ini," katanya.

Program yang membabitkan bekas presiden Majlis Peguam Datuk S.Ambiga berlangsung di Galeri Annexe, Pasar Seni bermula Rabu sehingga 13 November ini, dilaporkan bertujuan mempertahankan hak golongan homoseksual agar boleh diterima dalam kalangan masyarakat negara ini.

Zulkifli juga mendakwa penganjur program kontroversi itu sebenarnya mahu mempromosi parti seks bebas.

Ketika lantang berbahas, beliau tanpa menyedari menggunakan perkataan "Khalifah" untuk menyifatkan Ambiga sebagai ketua yang dilantik oleh pembangkang ketika penganjuran demonstrasi haram Bersih, 9 Julai lepas.

"Yang Berhormat Kuala Selangor tak faham ke yang Ambiga itu 'Ketua Khalifah' kau orang pada perhimpunan haram dulu...sekarang dia (Ambiga) nak jadi Khalifah seks songsang," katanya.

Insiden itu menyebabkan Dr Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor) dan Khalid Samad (Pas-Shah Alam) bangun untuk membantah penggunaan perkataan itu.

Sementara itu, Dr Siti Mariah Mahmud (Pas-Kota Raja) dalam perbahasannya berharap semua pihak termasuk kerajaan dapat menggunakan pendekatan lain selain kekerasan dalam menangani isu homoseksual itu.

Katanya menghukum mereka yang terlibat dalam seks bebas dan seks songsang tidak dapat menyelesaikan masalah itu tetapi kerajaan diminta supaya lebih memahami dan membimbing mereka daripada terus menjalankan aktiviti homoseksual tersebut.

Mengenai Ambiga, Dr Siti Mariah berkata walapun beliau menyokongnya dalam isu Bersih 2.0 tetapi bagi isu program Seksualiti Merdeka, beliau sama sekali tidak menyokongnya.

Dr Siti Mariah juga mencadangkan supaya kerajaan meminda Kanun Keseksaan untuk memuatkan perbuatan zina sebagai satu kesalahan mengikut Seksyen 377 sebagai usaha membanteras perbuatan zina yang semakin berleluasa di negara ini. - BERNAMA

Artikel Lain