suria

Chile Pelawa Syarikat M'sia Sertai Projek Infrastruktur

KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat Malaysia telah dipelawa menyertai bidaan terbuka untuk beberapa projek infrastruktur di Chile yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Timbalan Menteri untuk Hal-Ehwal Luar Chile, Fernando Schmidt berkata antaranya ialah tiga projek utama iaitu pelebaran lapangan terbang antarabangsa di Santiago; penyudahan lingkaran jalan untuk lebuh raya di Santiago serta sebuah terowong; dan lebuh raya yang akan menghubungkan Chile dengan Argentina serta terowong 50km yang akan merentasi Andes Range.

Schmidt berkata Chile akan membuka bida antarabangsa tahun depan bagi projek penyudahan lingkaran jalan 24 km bernilai ratusan ribuan dolar US.

“Syarikat-syarikat pembinaan juga boleh menyertai pembidaan untuk projek lebuh raya yang akan menghubungkan Chile dengan Argentina. Ia beserta sekali terowong sepanjang 50 km dan akan menjadi antara terowong terpanjang di muka bumi ini.

"Projek ini bernilai antara US$5 bilion dan US$10 bilion dan amat sesuai sekali bagi syarikat-syarikat antarabangsa, termasuk Malaysia menyertai pembidaan ini," kata beliau kepada Bernama dalam satu temubual.

Schmidt berkata Chile kini dalam peringkat akhir kajian kejuruteraan dan pembiayaan projek sebelum mengumumkan pembidaan itu, mungkin dalam tempoh beberapa minggu ini.

“Kami akan mengumumkannya, mungkin dalam tempoh beberapa minggu ini. Semua bergantung kepada kecepatan kajian itu," kata beliau.

Schmidt juga berkata “Flavours of Chile” yang akan dianjurkan oleh Biro Promosi Eksport Chile (ProChile) pada 10 dan 11 November di Kuala Lumpur akan memperkenalkan produk Chile di pasaran Malaysia.

“Kami mahu mengembangkan perdagangan kami di Malaysia. Pada masa ini, produk yang kami eksport ke Malaysia adalah terhad. Masalahnya ialah kekurangan pengetahuan mengenai pasaran Malaysia.

“Kami akan memperkenalkan perasa baharu yang termasuklah buah-buahan, wain, daging, makanan laut dan produk tenusu serta peluang-peluang pelaburan baharu.

"Kami juga mahu beri tumpuan kepada produk halal kami. Jumlah syarikat kami yang mendapat persijilan halal juga turut meningkat," kata Schmidt.

Sementara itu, Duta Chile ke Malaysia, Christian Rehren berkata kira-kira 30 syarikat akan menyertai acara itu.

Beliau berkata yang acara “Flavours of Chile” akan turut mengadakan seminar mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Chile dan sesi mesyuarat perniagaan meja bulat yang akan disertai oleh ahli perniagaan kedua-dua buah negara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain