suria

13,369 Permohonan PATI Diproses Dalam Fasa Pemutihan Program 6P

PUTRAJAYA: Sejumlah 13,369 permohonan pemutihan pekerja asing tanpa izin (PATI) telah diproses dalam fasa pemutihan Program 6P yang bermula sejak Isnin sehingga Jumaat.

Timbalan Ketua Setiausaha Pendaftaran dan Imigresen Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Alwi Ibrahim berkata sepanjang tempoh itu juga seramai 1,469 majikan hadir ke Pusat Pemutihan Program 6P di sini bagi memohon pemutihan tersebut.

"KDN menggesa agar majikan dan PATI tidak berlengah untuk tampil ke Pusat Pemutihan Program 6P bagi menyelesaikan apa saja urusan berkaitan bagi mengelakkan proses permohonan mereka tertunggak dan lewat diproses.

"Amalan menunggu sehingga saat akhir perlu dielakkan kerana konsep diguna pakai ketika ini ialah 'first come first serve' di mana kelulusan bagi pemutihan PATI adalah tertakluk kepada jumlah kekosongan kerja yang masih berbaki," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sehingga hari ini, sejumlah 18,761 PATI yang terlibat dalam proses Pengampunan di bawah pelaksanaan Program 6P telah keluar dari negara ini. - BERNAMA

Artikel Lain