suria

Laporan Audit Negara: Usul Tergempar Isnin Ini

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat bercadang untuk membawa usul tergempar mengenai kegagalan kerajaan menyerahkan Laporan Audit Negara kepada Ahli Parlimen pada Isnin ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, walaupun sudah memasuki hari keempat sesi perbahasan belanjawan 2012, laporan tersebut masih belum diserahkan kepada Ahli Parlimen.

"Jadi kita cadang untuk bawa usul mengenai perkara tersebut kerana hari ini sudah masuk hari keempat sesi perbahasan tapi laporan masih tiada.

"Kegagalan itu sudah tentu memalukan kerajaan kerana laporan audit akan menjadi bahan rujukan untuk perbahasan kami bagi mengetengahkan persoalan berkaitan pengurusan perbelanjaan sebelum ini," katanya pada sidang media di lobi Parlimen. Khamis.

Beliau turut mempersoalkan ketiadaan laporan itu sedangkan sesetengah negeri termasuk Kelantan sudah menerima laporan audit negeri masing-masing.

Katanya, Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) merupakan individu yang bertanggungjawab terhadap perkara ini dan tidak seharusnya menunggu sehingga ianya dituntut.

"Kalau di luar negara, PAC dipengerusikan wakil pembangkang jadi senang untuk menggesa kerajaan tapi di Malaysia PAC diketuai wakil kerajaan sebab itu lambat bertindak," ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaafar meminta Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid menjelaskan perkara tersebut.

"Kita minta Azmi Khalid jelaskan perkara ini kerana bukan saja Ahli Parlimen tapi rakyat juga menunggu untuk mengetahui laporan kewangan negara," katanya.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, Jabatan Audit Negara turut terkejut apabila beliau memaklumkan bahawa Ahli Parlimen belum menerima laporan itu.

"Pegawai jabatan itu terkejut dan menyatakan Ketua Pengarah sendiri gembira kerana laporan tersebut siap lebih awal berbanding tahun lalu dan lengkap.

"Jadi kita hairan. Di manakah sangkutnya laporan itu? Adakah di Parlimen atau berada di tangan menteri tertentu," tambahnya.

Artikel Lain