suria

Raja Muda Perlis Mahu Rakyat Turut Dapat Semarak Hari Pahlawan

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan agar sambutan Hari Pahlawan diberi nafas dan inovasi baru supaya rakyat dapat turut menyemarakkannya.

Baginda bertitah sambutan itu perlu berorientasikan agensi dan masyarakat kerana selama ini pengisian sambutan lebih bertumpu kepada acara perbarisan dan pelancaran Tabung Rayuan Hari Pahlawan.

Baginda yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah bertitah acara sambutan Hari Pahlawan perlu turut melibatkan penyertaan pelajar sekolah, mahasiswa, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pihak pengurusan masjid dan rakyat umum.

Baginda melancarkan program percambahan minda bagi menyemarakkan Hari Pahlawan anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) di Istana Arau dekat sini malam Isnin.

Pada masa yang sama, baginda bertitah bahawa sudah sampai masanya semua warga Malaysia menunjukkan balasan budi kepada para pahlawan.

"Hakikat keamanan, kestabilan dan kesejahteraan negara yang dikecapi semua rakyat adalah hasil perjuangan dan pengorbanan para pahlawan sejak dahulu lagi," titah baginda yang juga Pengerusi YTSP.

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat ke majlis tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain